Bekas Presiden UMANY didakwa ingkar arahan polis

PETALING JAYA: Bekas Presiden Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengingkari arahan seorang pegawai polis ketika polis membuat serbuan di sebuah rumah, Sabtu lepas.

Wong Yan Ke, 24, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Nurshahirah Abdul Salim.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh ASP Lee Robert supaya berhenti membuat rakaman video secara langsung ketika polis membuat serbuan di sebuah rumah di Jalan 17/48, di sini, pada 7 November lepas.

Advertisement

Graduan jurusan Kejuteraan Awam dari Universiti Malaya itu didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sebulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Atifah Hazimah Wahab menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh mengambil kira kes itu melibatkan kepentingan awam dan telah tular di laman sosial.
 
Peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Wong memohon supaya anak guamnya dikenakan bon tanpa cagaran memandangkan hukuman yang diperuntukan di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan adalah rendah.

“Beliau kini bekerja di sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan berpendapatan RM2,600 sebulan.

“Selain itu, ketika ditahan tertuduh memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa. Dia tidak akan melarikan diri dan mengganggu mangsa. Jika mahkamah menolak cadangan bon ini, mohon mahkamah mengenakan jaminan yang minimum,” katanya

Mahkamah membenarkan Wong diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Februari untuk sebutan semula kes.

Sabtu lepas, Bernama melaporkan seorang  lelaki ditahan ketika polis membuat serbuan di sebuah rumah di Petaling Jaya berhubung siasatan kes Akta Hasutan melibatkan Persatuan UMANY. – BERNAMA