Tompokan hijau di Sungai Melayu resahkan nelayan

- Advertisement -

ISKANDAR PUTERI: Tompokan kehijauan seperti lumut yang kelihatan terapung di permukaan air di tepi Sungai Melayu, dekat sini sejak beberapa hari kebelakangan ini telah mendatangkan kebimbangan komuniti nelayan dan penduduk setempat.

Tompokan itu bukan sahaja jelas kelihatan, tetapi didakwa membawa bau busuk yang hanyir, serta menyebabkan kegatalan jika terkena pada kulit sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk sekitar.

Seorang nelayan, Mohamad Sa Nur Mohamed Nur, 30, mendakwa badannya mengalami kegatalan apabila terkena air berkenaan.

- Advertisement -

“Saya pergi menjaring di kuala dua hari ini. Bila angkat jaring, jaring kotor (dengan tompokan hijau) dan airnya terkena tangan dan badan saya, menyebabkan gatal dan berbintik-bintik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jeti Kampung Sungai Melayu, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Komuniti Nelayan Kampung Sungai Melayu Kamarudin Ahmad mendakwa keadaan itu pernah berlaku sebelum ini tetapi tidak teruk.
 
“Situasi ini sudah berlanjutan selama tiga hari. Air kelihatan berlendir dan berbau busuk. Bila jadi macam ini, hasil laut seperti udang, ketam dan ikan juga berkurangan.

“Kebiasaannya boleh dapat hasil laut lebih tiga hingga empat kilogram sehari tetapi dua tiga hari kebelakangan ini, nak dapat satu kilogram pun susah. Ada nelayan tidak dapat untung pun sebab hasil tangkapan sedikit sahaja,” katanya.

Bimbang keadaan menjadi lebih buruk, komuniti nelayan di kawasan itu telah membuat laporan kepada pihak berkaitan semalam untuk tindakan susulan, kata Kamarudin yang telah menjadi nelayan selama 35 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas DUN Kota Iskandar Pandak Ahmad berkata susulan laporan daripada komuniti nelayan itu, beliau telah memaklumkan kepada pihak Majlis Perbandaran Iskandar Puteri untuk tindakan jabatan berkaitan.

“Pihak Jabatan Perikanan negeri dan Jabatan Alam Sekitar ada turun padang semalam, bagi menyiasat dan mengambil sampel air untuk dianalisis,” kata beliau.

Pandak berharap jabatan berkaitan dapat terus memantau situasi berkenaan terutama bagi membantu golongan nelayan yang terjejas pendapatannya.

Buat masa ini, terdapat 132 nelayan yang terdiri daripada 106 nelayan laut, 20 penternak kupang dan enam penternak ikan sangkar di kawasan Sungai Melayu. – BERNAMA

- Advertisement -