Parti politik mesti sedia junjung perintah MRRM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semua parti politik diseru menjunjung perintah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu (MRRM) yang akan memuktamadkan perkenan mengenai keputusan dipersembah Mesyuarat Khas Jemaah Menteri.

- Advertisement -

Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, parti-parti politik mesti berbesar hati untuk menerima sebarang pengumuman bakal diumumkan dari Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu itu.

“Yang di-Pertuan Agong dengan begitu teliti dan berhati-hati tanpa terus membuat keputusan dari keputusan dipersembahkan oleh Jemaah Menteri. Tetapi Baginda berunding dengan Majlis Raja-raja untuk mencapai satu keputusan.

“Juga kata sepakat untuk kebaikan semua pihak terutamanya rakyat Malaysia ketika kita berhadapan dengan tiga krisis serentak iaitu krisis ekonomi, politik dan kesihatan,” ujar beliau.

Pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) ini juga mengajak seluruh rakyat dan parti politik menjunjung bahawa Raja-raja Melayu adalah Payung Negara yang pastinya menaungi kepentingan semua pihak.

Katanya, Raja-raja Melayu pasti meletakkan keutamaan terhadap kesejahteraan seluruh rakyat agar terpelihara di mana parti-parti politik dituntut membantu merealisasikannya agar isu kesihatan dan ekonomi ketika ini dapat ditangani.

Jelas beliau, keutamaan tersebut mesti didukung semua parti dan melupakan seketika isu politik dengan bersabar buat sementara waktu dan memberi tumpuan terhadap usaha menangani penularan COVID-19.

“Lambat laun, PRU15 akan diadakan juga dan diharapkan parti politik menunggu sehingga lepas reda COVID-19 ini untuk PRU15 dilangsungkan. Inilah yang diharapkan oleh majoriti rakyat Malaysia ketika ini, iaitu tumpuan kepada jaminan kesihatan dan ekonomi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/10/2020

- Advertisement -