Kelakuan politik Pakatan Harapan sudah ketinggalan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kelakuan Pakatan Harapan (PH) tidak ubah seperti pepatah Arab di mana dia memukul orang, tetapi pergi mengadu bahawa dirinya dipukul, demikian bidas Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad.

- Advertisement -

Menurut beliau, PH sendiri terlibat dalam perbuatan korup dan kleptokrasi tetapi mereka menuding jari dan mengungkit-ungkit kepada orang lain dengan dakwaan seperti itu seperti lupa pada diri sendiri.

Ahli Dewan Negara ini menjawab persoalan dan mengupas pelbagai isu politik semasa ketika bersiaran langsung di Facebook Pemuda Bukit Gantang, malam tadi.

Antara ditampilkan beliau adalah mengenai pembentukan Kerajaan Negeri Sabah selepas PRU14 yang awalnya dipimpin BN, tetapi terjadinya melompat parti hingga teraju bertukar kepada WARISAN.

“Ini kerajaan apa pula? Kalau yang kita dia sebut ‘kerajaan tebuk atap’, ‘kerajaan pintu belakang’. Ini yang mereka pula pergi menghadap Yang di-Pertuan Agong, tak membawa pun senarai nama yang sepatutnya bawa.

“Sekurang-kurangnya Tan Sri Muhyiddin dulu dia bawa SD yang ditandatangan oleh semua kalangan anggota-anggota Ahli Parlimen yang menyokong Tan Sri, yang menepati dengan Perlembagaan Malaysia.

“Yang dirasakan pada hemat Yang di-Pertuan Agong mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat, ataupun di kalangan Ahli Parlimen,” ujarnya memberi perbandingan itu.

Manipulasi yang sedemikian juga kata Ustaz Idris, dijayakan PH menerusi penguasaan di media sosial melibatkan laskar siber dengan berbuat sebarang tindakan demi untuk mencapai matlamat mereka.

Bidas beliau, kalangan laskar siber tersebut bukanlah bergerak untuk mengemukakan kebenaran, tetapi lebih kepada mencari makan hingga membuat pelbagai tuduhan dan penyataan tidak seimbang.

Antara contoh ditampilkan Ustaz Idris adalah apabila Menteri Agama, Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif COVID-19 diserang, tetapi tidak pula kepada ADUN DAP, PKR dan PAN.

“Sebab itu apabila kita berhujah macam mana pun, kita tidak akan, mereka tidak akan terima kebenaran. Pada kita ialah lebih baik kita move forward, tugas kita ialah untuk nak menjaga rakyat,” ujarnya.

Sedangkan secara fakta lain hujahnya, Malaysia menjadi antara negara paling berjaya mengawal COVID-19 hasil peranan barisan hadapan negara dan inisiatif kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bahkan katanya, negara di bawah teraju Muhyiddin dapat menjadikan rakyat patuh untuk bersama menghadapi pandemik ini tidak seperti negara lain hingga berlaku pemberontakan dan siri demonstrasi.

Namun kesalinya, ada juga pihak yang terus berpolitik menghilangkan fokus dan mewujudkan ketidakstabilan, terus berteori dan beretorik serta berkonfrontasi, sedangkan era politik juga sudah berubah.

“Politik era pandemik pada hari ini, lebih saintifik, bukannya berbentuk retorik. Mesti dibuktikan bukan janji-janji kosong. Politik era ini hendak kepada soal peace talk, bukan berbanding dengan war talk.

“Politik yang bersifat bekerja dan bertindak, bukan berteori ataupun hanyalah bercakap semata-mata. Ini politik yang wujud era pandemik pada hari ini,” tegasnya memberi mesej kepada semua ahli dan parti politik. – HARAKAHDAILY 16/10/2020

- Advertisement -