Melayu: Berpecah atau dipecahkan?

- Advertisement -

POLITIK matang ialah politik penyatuan bukan perpecahan. Tidak ada pendekatan politik yang paling berjaya selain politik Rasulullah S.A.W. Baginda memulakan perjalanan politik dan dakwah Baginda bermula daripada sifar. Membangunkan sebuah bangunan politik di tengah-tengah masyarakat yang tidak bertamadun. Namun dalam tempoh beberapa puluh tahun selepas itu pasukan Islam berjaya menumbangkan dua empayar besar iaitu Rome dan Parsi.

Rasulullah telah menggunakan pendekatan penyatuan dan persaudaraan serta keadilan. Itulah wajah sebenar politik Islam yang dibawa oleh Baginda. Binaan Daulah Islam Madinah bermula dengan penyatuan dua kabilah Arab Madinah iaitu Aus dan Khazraj yang kemudiannya dinamakan Ansar. Seterusnya Ansar itu pula dipersaudarakan dengan kaum Muhajirin dan dinamakan Muslimin. 

Ikatan persaudaraan Islam yang dibina oleh Baginda telah meruntuhkan tembok-tembok Asobiyyah yang sekian lama mengepung bangsa Arab dalam blok-blok kaum yang sempit. Yang menjadi punca perpecahan yang sering membawa kepada pergaduhan dan bahkan peperangan kaum dan kabilah. Sehinggalah muncul sebuah negara besar Islam yang dianggotai beratus-ratus kabilah yang bernaung di bawah akidah yang satu dan agama yang satu. Mereka semua menjadi satu.

- Advertisement -

Di samping itu, keadilan Islam yang sentiasa dititik beratkan oleh Baginda dalam politik Islam telah menarik minat rakyat Jazirah Arab. Bahkan turut dinanti-nantikan oleh rakyat Rome dan Parsi yang sekian lama terseksa di bawah pemerintahan kedua-dua kerajaan itu. Maka tidak hairan ketika gerombolan Islam datang ke negara mereka dengan senang hati mereka yang berlainan agama itu memberikan kerjasama dan menghulurkan pertolongan kepada pasukan Islam. Sehingga Islam berjaya mengalahkan Rome dan Parsi.

Hari ini pendekatan yang sama diambil oleh PAS, parti Islam di Malaysia. PAS menjadikan agenda penyatuan Melayu Muslim di negara ini sebagai objektif besar PAS. Bagi PAS ummat ini tidak akan mampu menghadapi landaan politik Kuffar selagi mereka dipisah-pisahkan dengan semangat Asobiyyah parti dan kumpulannya sendiri. Jika dibiarkan Melayu yang sudah berpecah ini akan dipecah-pecahkan lagi dengan penubuhan parti kecil orang Melayu. Seterusnya jika tidak dibendung Melayu ini akan menjadi buih-buih halus yang tidak mempunyai apa-apa kekuatan di bumi dan tanah airnya sendiri.

Untuk itu PAS mengajak seluruh Melayu Muslim khususnya,sebagai bangsa yang paling dominan di negara ini agar bersatu di bawah naungan Islam. Kebetulan pula parti-parti besar di negara ini adalah seagama dan sebangsa. Sekurang-kurangnya titik persamaan utama telah ada. Hanya satu perkara sahaja lagi yang diperlukan oleh bangsa ini iaitu kesedaran dan keinsafan. Jika keegoan diri dan ketamakan dapat diputuskan dari membelenggu mereka maka dengan sendirinya tembok Asobiyyah kepartian akan diruntuhkan. Saat itu akan lahirlah sesosok raksasa bangsa dan ummat yang hebat dan tak terkalahkan lagi. Namun itu semua hanya dapat dicapai jika bangsa ini mengambil politik kasih sayang, politik penyatuan dan bukan politik perpecahan sebagai landasan. Bersediakah kita untuk itu? Insya-Allah atas nama Islam PAS telah lama bersedia. 

USTAZ MOKHTAR SENIK 
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 9/10/2020

- Advertisement -