Politik Kyrgyzstan kritikal, Presiden sedia letak jawatan

- Advertisement -

BISHKEK, Kyrgyzstan: Presiden Kyrgyzstan Sooronbay Jeenbekov pada Jumaat mengakui keadaan politik di negara ini semakin kritikal dan mencadangkan beberapa langkah untuk mengatasi situasi itu, lapor agensi berita Kabar.

“Keputusan pilihan raya sudah dibatalkan. Sekarang kita perlu menetapkan tarikh baharu untuk mengadakan pilihan raya,” kata Jeenbekov.

- Advertisement -

Beliau turut menegaskan mengenai perlunya memecat Perdana Menteri dan barisan Kabinet yang lain bagi membolehkan anggota baharu dilantik berdasarkan lunas undang-undang.

Presiden Jeenbekov berkata untuk mengesahkan pelantikan Perdana Menteri dan barisan Kabinet baharu, memerlukan resolusi Parlimen dan keputusan Presiden, beliau bersedia untuk menandatangani dekri yang sesuai dan menunggu parlimen dibubarkan.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya mahu perubahan yang berlaku berdasarkan peraturan. Bagi saya, tidak ada kedudukan lebih tinggi berbanding integriti negara, perpaduan rakyat dan ketenangan dalam kalangan masyarakat. 

“Kita perlu kembalikan keadaan seperti biasa secepat mungkin. Selepas pelantikan ketua eksekutif yang sah diluluskan dan negara menjalani proses berlandaskan perundangan, saya bersedia melepaskan jawatan sebagai Presiden Republik Kyrgyz,” kata Jeenbekov dalam satu kenyataan. 

Beliau sekali lagi menyeru semua pihak termasuk parti politik untuk mengekalkan keamanan, elak mencetuskan perkara yang boleh menyebabkan rakyat serta masyarakat berpecah belah.

Selepas pilihan raya parlimen di Kyrgyzstan diadakan pada 4 Oktober, beberapa parti politik yang kalah mengadakan demonstrasi menuntut keputusan pilihan raya dibatalkan.

Bantahan terus memuncak sehingga mencetuskan pertembungan antara penunjuk perasaan dengan anggota polis. 

Penunjuk perasaan menawan bangunan Parlimen dan bangunan strategik yang lain di mana Perdana Menteri dan Ketua Parlimen negara itu turut meletakkan jawatan. 

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya pada Selasa membatalkan keputusan pilihan raya berkenaan. – BERNAMA

- Advertisement -