Tindakan Kitingan layak dicontohi

- Advertisement -

SAYA amat teruja membaca berita, Timbalan Ketua Menteri Sabah yang baru dilantik, Jeffrey Gapari Kitingan, telah meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya di dalam Kerajaan Persekutuan.  

Kitingan, 72, dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah, di Kota Kinabalu pagi semalam, adalah salah satu daripada tiga Timbalan Ketua Menteri, yang dilantik. Beliau adalah Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan anggota Parlimen tunggal parti itu yang mewakili Parlimen Keningau. Dalam PRN Sabah, Ahad lalu, beliau berjaya mengekalkan kerusi Tambunan dengan majoriti yang lebih besar.

Tindakan ini menunjukkan beliau tidak tamak kuasa. Kuasa bukan menjadi matlamatnya. Apa yang penting adalah perjuangan. Perjuangan apa? Beliau lebih maklum, mungkin kita sedia maklum. 

- Advertisement -

Lagi satu, mungkin beliau mahu lebih fokus tugas dan urusan negeri yang jauh lebih penting, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh abangnya ketika menjadi Ketua Menteri, suatu ketika dahulu. 

Adakah kita sudah lupa apa yang berlaku di sana? Setiap kali ke Kundasang, setiap satu kilometer, kita akan jumpa gereja. Sedangkan Sabah majoritinya adalah orang Islam. 

Salah siapa? Salah kita, bila kita ada kuasa kita tidak buat kerja untuk membangunkan syiar agama dan menjaga anak bangsa serta negara keseluruhannya.

Kenapa ramai kita sebagai umat Islam tidak ada sifat sebegini. Kita terus berebut kuasa. Kuasa menjadi matlamat. Sehingga hal-hal berkaitan agama dan anak bangsa terkebelakang. Paling ditakuti, kita terus lemah dan lemah. Kuasa menjadi matlamat bukan alat. 

Tidak mengapalah jika kuasa menjadi matlamat, tetapi mesti ada hala tuju, apa yang boleh dimanfaatkan daripada kuasa itu. Sudah tentu untuk membangunkan agama, bangsa dan negara.

Sudah sampai masanya, kita mencontohi orang-orang sebegini. Boleh sahaja saya membawa contoh Baginda Rasulullah S.A.W dan para Sahabat. Takut nanti dikatakan terlebih ustaz. Jadi, saya bawa contoh Kitingan. Tahniah Kitingan. Tindakan saudara patut dipuji.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH – HARAKAHDAILY 30/9/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -