Muafakat Umno-PAS ibarat pagar

- Advertisement -

SAYA sudah sebut berulang kali… ‘Muafakat Umno-PAS ibarat pagar’. Dari arah manapun ia runtuh pasti memberi peluang makhluk perosak menyerbu masuk dan memusnahkan tanaman. Maka bersabarlah mempertahankannya. Ingat…

(1) Ukhuwwah itu nikmat Allah kepada kita… Firman Allah:

- Advertisement -

(وَٱعۡتَصِمُوا۟ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِیعࣰا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ۚ وَٱذۡكُرُوا۟ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَیۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَاۤءࣰ فَأَلَّفَ بَیۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَ ٰ⁠نࣰا 

“Dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.”

[ali-‘Imran: 103]

(2) Ukhuwwah adalah kurniaan Allah yang tiada tolok bandingnya:

(وَأَلَّفَ بَیۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِی ٱلۡأَرۡضِ جَمِیعࣰا مَّاۤ أَلَّفۡتَ بَیۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَیۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِیزٌ حَكِیمࣱ)

“Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

[al-Anfal: 63]

(3) Ukhuwwah adalah kekuatan yang tidak terkalahkan:

(إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلَّذِینَ یُقَـٰتِلُونَ فِی سَبِیلِهِۦ صَفࣰّا كَأَنَّهُم بُنۡیَـٰنࣱ مَّرۡصُوصࣱ)

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

[As-Saf: 4]

Berdasarkan ayat-ayat di atas maka atas alasan apa untuk kita memandang remeh terhadap permuafakatan yang sudah terjalin ini. Mustahil kita masih bodoh politik setelah Allah memberikan banyak peringatan mengenai betapa perpecahan itu adalah sebuah malapetaka kepada agama dan ummat ini. 

Jangan biarkan nafsu, ketamakan, dan kerakusan kita merobek persaudaraan ini. Dalam persahabatan dan persaudaraan jangan bakhil untuk memberi dan jangan tamak dalam meminta. Belajarlah jadi ahli politik Muslim yang bijak dan beriman.

Cybertrooper PH berkeliaran di mana-mana. Ada yang menyamar menjadi ahli PAS yang bencikan Umno. Ada yang menyamar menjadi ahli Umno yang bencikan PAS. Ada juga yang menjadi ahli PAS yang tak puas hati dengan pimpinan PAS dan menjadi ahli Umno yang tak puas hati dengan pimpinan Umno.

Perlu diingat bagaimana ‘Kekuatan persaudaraan PAS-Umno’ berjaya menumbangkan Kerajaan PH dalam masa 7 bulan selepas ia dimeteraikan. Ukhuwwah itu benar-benar menjadi bom atom yang merubah landskap politik Malaysia dalam sekelip mata. Sehingga PH sendiri tidak menjangkakan secepat itu mereka tersungkur.

Lalu saya berharap kedua-dua pihak sama ada pimpinan atau ahli jangan biarkan diri kita menari mengikut kehendak PH. Belajar sesuatu dari kekalahan kita dalam PRU ke-14 yang lalu. 

Mahu tersembam sekali lagi kah baru kita mahu cerdik dalam berpolitik? Moga kita semua tidak sebenak itu.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 30/9/2020

- Advertisement -