Miliki perisai diri hadapi ujian kalah menang

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Ujian ketika perjuangan berada dalam kekalahan dan jauh daripada kejayaan tidaklah sehebat apabila dapat mencapai kegemilangan dan berada dalam situasi menang.

- Advertisement -

Malah, ujian lebih besar akan dihadapi ketika mana mencapai atau saat hampir kepada kemenangan, demikian kata Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang, Ustaz Mohd Tarmizi Yahya.

Sehubungan itu beliau yang juga ADUN Panching menegaskan, pergantungan sepenuhnya kepada Allah menjadi perisai paling ampuh terutama dalam mendidik hati redha natijah atas perjuangan.

Perkara tersebut dinyatakan beliau ketika berucap merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya DUN Semambu di Dewan Sekolah Agama Rakyat Baitul Huda (SABDA), Chenderawasih, di sini kelmarin.

Ustaz Tarmizi menyeru kepada seluruh anggota jentera agar merapatkan saf perjuangan supaya tidak dimasuki musuh terutama iblis yang sentiasa mencari jalan untuk merungkaikan kekuatan telah terbina.

Menurut beliau, seandainya kekuatan saf itu tidak dijaga, dibimbangi akan muncul penyakit hati yang menghilangkan rahmat dan keberkatan Allah di atas segala usaha dan amal dilakukan.

Malah turut diperakuinya, setiap ahli mempunyai peranan dan sumbangan tersendiri dalam gerak kerja amal Islami biar sekecil manapun tugas yang disandang, hatta tidak terzahir di pandangan mata.

Anggota jentera juga diperingatkan beliau untuk sentiasa menjaga disiplin dalam jemaah supaya sesuatu arahan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Antara perkara disiplin yang ada dalam PAS adalah sami’na wa ata’na dan hakikatnya perkara ini mudah diikut dalam perkara yang kita suka, namun sebaliknya pada perkara yang kita tidak suka dan tidak sesuai dengan hati kita,” ujar beliau.

Demikian itu nasihatnya, anggota jentera mesti sentiasa mendidik hati untuk patuh kepada arahan pimpinan dengan keyakinan bahawa arahan itu datang untuk melaksanakan perintah daripada Allah.

Juga pesannya, dengan memahami bahawa kepatuhan tersebut membawa kepada hadirnya barakah dan pahala daripada Allah, sekali gus mengundang pertolongan daripada-Nya.

Tambah beliau lagi, seluruh jentera harus menjaga ukhuwah antara sesama ahli dengan sentiasa bertanya khabar dan menziarah agar nikmat dalam berjemaah akan terus dapat dirasai.

“Bahtera kita ini tidak akan sekali-kali berhenti diuji oleh Allah Taala. Mereka yang kuat hubungan dengan Allah, selama itulah akan tetap kakinya dalam bahtera ini.

“Sesiapa yang leka dan lalai dalam menjaga hubungan dengan Allah, maka datang ujian yang tidak mampu untuk dihadapi dan akhirnya tercampak daripada bahtera yang kita sayangi ini,” peringatnya.

Majlis turut diserikan dengan persembahan Silat Gayung Saidina Umar Al-Khattab daripada pelajar Sekolah Rendah Islam Tahfiz Integrasi Zulkifli Muhammad (SRITIZM).

Juga diadakan acara simbolik penyerahan bendera PAS kepada Ketua Unit Daerah Mengundi (UDM) dan diakhiri dengan bacaan ikrar petugas pilihan raya melibatkan 137 orang daripada 11 UDM.

Turut hadir Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik dan ADUN Beserah, Andansura Rabu merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Indera Mahkota.

Juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Parlimen Indera Mahkota, Tengku Zaidi Tengku Musa dan Pengarah Jentera Pilihan Raya DUN Semambu, Mohd Khasdi Kosnin. – HARAKAHDAILY 28/9/2020

- Advertisement -