Muslimat sedia penuhi tuntutan gerak kerja PRU15

TASEK GELUGOR: Jabatan Pilihan Raya Muslimat PAS Parlimen Tasek Gelugor telah mengadakan majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya Muslimat PAS DUN Permatang Berangan.

Advertisement

Perasmikan telah disempurnakan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Parlimen Tasek Gelugor, Ustaz Zulkifli Ishak dalam himpunan yang diadakan di sini kelmarin.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan penglibatan Jentera Muslimat dalam gerak kerja menghadapi pilihan raya untuk melaksanakan pelbagai urusan yang bersifat teknikal.

Ustaz Zulkifli juga memberi taujihat khusus buat Muslimat Muda yang menjadi tulang belakang kuat kepada jentera pilihan raya secara amnya.

“Muslimat muda perlulah menggunakan kelebihan yang ada seperti akses media massa, penggunaan pengkomputeran dan lain-lain untuk membantu melancarkan lagi gerak kerja persiapan bagi menghadapi pilihan raya,” ujar beliau.

Himpunan ini turut mengadakan sesi taujihat khas Jentera Muslimat yang disampaikan Naib Ketua Muslimat PAS Pulau Pinang, Ustazah Siti Mastura Mohamad dalam Majlis Hi-Tea yang diadakan.

Dalam ucapannya, beliau berpesan agar semua anggota Jentera Muslimat melakukan kerja pilihan raya dengan kefahaman untuk membawa mesej Islam dan mendapatkan redha Allah.

Beliau juga turut mengingatkan walau sehebat manapun keupayaan luaran yang dimiliki, kekuatan dalaman sama sekali tidak boleh diketepikan, iaitulah dengan meninggikan munajat kepada Allah.

Pelancaran jentera ini berakhir dengan solat hajat berjemaah oleh semua jentera yang hadir. – HARAKAHDAILY 28/9/2020