Mardhatillah wajib jadi matlamat utama

- Advertisement -

TASEK GELUGOR: Persiapan terpenting mesti ditekankan dalam gerak kerja pilihan raya dan mengisi kemenangan adalah menghasilkan jentera yang meletakkan keredhaan Allah sebagai matlamat utama.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad menegaskan, antara ciri jentera yang sedemikian adalah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah serta berlapang dada dengan segala keputusan kepimpinan jemaah dengan memberikan wala’ dan ketaatan.

Beliau berucap merasmikan Jentera Pilihan Raya PAS Parlimen Tasek Gelugor pada himpunan yang dilangsungkan di Dewan MATAS Lahar Yooi, di sini kelmarin.

Bahkan katanya, untuk mendapat keredhaan Allah juga menuntut persiapan iaitu menyusun gerak kerja yang bersistematik, selain memberi pengorbanan tenaga, masa dan harta bagi menjayakan perjuangan.

Beliau menegaskan betapa PAS sangat komited menjayakan agenda dari sekecil-kecil pembangunan individu insan hingga terbesar iaitu pembentukan dan pemerintahan negara di mana menuntut persiapan semua peringkat termasuk PAS Cawangan.

Ustaz Idris turut mengingatkan betapa PAS tidak terlepas daripada cabaran antaranya memerlukan ahli untuk sentiasa mempertahankan jemaah dan pimpinan di media terutama dari ancaman fitnah laskar siber.

Majlis turut diserikan dengan sambutan hari lahir Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusof dan dihadiri Pengerusi As-Sabiqun PAS Pulau Pinang, Ustaz Khalid Man serta Yang DiPertua PAS Tasek Gelugor, Mohd Sobri Salleh. – HARAKAHDAILY 28/9/2020

- Advertisement -