Mandat Sabah sahkan pilihan semasa rakyat Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mandat telah diberikan kepada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) membuktikan rakyat negeri Sabah mahukan jaminan kestabilan politik.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata dengan kemenangan dicapai pada PRN Sabah itu bermakna hasrat mewujudkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini telah menjadi kenyataan.

“Keputusan PRN yang sekali gus berlaku peralihan tampuk Kerajaan Negeri Sabah ini juga menunjukkan rakyat Sabah turut memberi sokongan kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini bermakna, perubahan yang telah berlalu di Semenanjung adalah relevan serta diterima oleh rakyat di Malaysia Timur setelah terdahulu kepimpinan di Sarawak juga mengesahkan sokongan sama.

“Keputusan PRN Sabah juga adalah isyarat penolakan ketara rakyat Malaysia kepada Pakatan Harapan (PH) dari gabungan DAP, PKR, PAN dan WARISAN, setelah mereka terlebih dahulu ditolak dalam beberapa siri PRK.

“Ini juga pengajaran buat semua pihak, betapa agenda kesatuan dan perpaduan adalah perkara penting yang amat didambakan rakyat demi kesejahteraan dan keharmonian,” ujarnya.

Tambah beliau, kemenangan GRS di Sabah pada PRN ini juga menunjukkan penerimaan masyarakat majmuk termasuk dari pelbagai etnik dan penganut agama kepada politik yang mementingkan rakyat dan negara.

Bermakna kata Kamaruzaman, rakyat menolak permainan politik keterlaluan dan ekstrem yang menggugat dan mengancam kestabilan tadbir urus, ekonomi dan kehidupan rakyat.

Beliau turut menyifatkan, keputusan PRN Sabah menjadi mesej bahawa pengumuman tergempar dibuat Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim langsung tidak relevan, bahkan tidak mempengaruhi pilihan rakyat.

Kamaruzaman turut merakamkan tahniah kepada rakyat Sabah, para petugas pilihan raya dan parti politik, termasuk anggota keselamatan dan barisan hadapan negara atas menjayakan PRN Sabah secara aman.

Beliau turut berharap semua calon yang telah menang akan berkhidmat kepada rakyat, manakala pembangkang akan memainkan peranan aktif dalam semak dan imbang pentadbiran negeri.

GRS memperolehi majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Negeri Sabah setelah memenangi 37 kerusi dengan masing-masing disumbang PN (17), BN (14) dan PBS (6) setakat jam 11:30 malam ini.

Manakala WARISAN (24), Bebas (2) serta PKR (1) dan UPKO (1) iaitu dari 65 kerusi sebagaimana diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), bermakna berbaki lapan lagi belum diumumkan dari keseluruhan 73 kerusi. – HARAKAHDAILY 26/9/2020

- Advertisement -