‘Rasul Melayu’: Usah terus salah guna teknologi

- Advertisement -

SAYA menzahirkan rasa bimbang dengan kemunculan kembali ‘Rasul Melayu’ setelah diharamkan Jabatan Agama Islam Selangor 29 tahun yang lalu. 

Tidak dinafikan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) ada menyatakan bahawa ajaran sesat di negara ini masih terkawal namun penyebaran ajaran ini melalui medium media sosial sebagai modus operandi baharu mencetuskan kebimbangan.

Saya berpandangan media sosial yang merupakan teknologi moden bagi memudahkan masyarakat hari ini untuk berhubung dan berkongsi ilmu tidak sewajarnya disalah guna dengan menyebarkan ajaran yang menyesatkan manusia. 

- Advertisement -

Apatah lagi ajaran tersebut jelas sekali telah difatwakan haram. Oleh itu, orang ramai sewajarnya lebih peka untuk mengikut sesuatu gerakan dengan menyemak terlebih dahulu asal-usul kumpulan tersebut termasuk dengan merujuk kepada Jabatan Agama Negeri. 

Justeru, saya menyeru orang ramai agar tidak menyalahgunakan kemajuan teknologi sehingga menimbulkan implikasi negatif dalam masyarakat seperti penyebaran ajaran sesat.

Saya juga menggesa masyarakat agar berhati-hati dengan segala penyelewengan agama terutama yang disebarkan melalui media massa yang jelas sekali mensyirikkan Allah sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nisa’: 48:

إِنَّ اللّهَ لاَ يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَن يَشَاء وَمَن يُشْرِكْ بِاللّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا

“Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepada-Nya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain daripada dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.”

“Islam Memperkukuh Perpaduan” 

YB USTAZAH NURIDAH SALLEH
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 23/9/2020

- Advertisement -