Pindaan RUU Pengangkutan Jalan lulus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara semalam meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 bagi meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya dan menjamin kebajikan serta kesejahteraan rakyat Malaysia.

RUU itu yang dibentangkan Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah diluluskan dengan sokongan suara terbanyak ahli Dewan Negara.

Sebelum itu, Senator Mohamad Imran Abd Hamid memohon kepada Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim untuk mengadakan undi belah bahagian, namun tidak dipersetujui kerana hanya empat Senator sahaja yang mahu perkara itu dilakukan. 

- Advertisement -

Menurut Rais, sekurang-kurangnya lapan Senator perlu bersetuju untuk undi belah bahagian diadakan sebelum usul dipersetujui.

Seramai 16 Senator daripada pihak kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan rang undang-undang tersebut.
 
Terdahulu, Hasbi ketika menggulung perbahasan RUU tersebut berkata objektif pindaan ialah untuk menjadikan undang-undang sebagai langkah pencegahan yang menghalang seseorang melanggar peraturan.

“Mudah-mudahan dengan pindaan ini akan memberi kesan lebih baik untuk keselamatan seluruh pengguna dan orang yang menjadi mangsa kemalangan jalan raya disebabkan kecuaian pemandu,” katanya.

Secara keseluruhan, pindaan RUU itu akan mengandungi 15 fasal utama.

Antaranya ialah pindaan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) melibatkan kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan iaitu hukuman penjara selama lima hingga 10 tahun dengan denda RM20,000 hingga RM50,000.

Selain itu, pindaan turut dilakukan terhadap Seksyen 44 akta sama melibatkan kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu kes menyebabkan kecederaan serta kes menyebabkan kematian.
 
Bagi kes menyebabkan kematian, hukuman yang dikenakan jika sabit kesalahan ialah penjara antara 10 dan 15 tahun dan denda RM50,000 hingga RM100,000 selain hilang kelayakan lesen memandu bagi tempoh 10 tahun untuk sabitan pertama.

Pindaan turut melibatkan hukuman penjara 15 hingga 20 tahun, denda RM100,000 hingga RM150,000 serta hilang kelayakan lesen bagi tempoh 20 tahun untuk kesalahan seterusnya.

Pada masa sama, RUU itu juga mencadangkan pindaan had kandungan alkohol baharu iaitu 22 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter (ml) nafas; 50 miligram (mg) alkohol dalam 100 ml darah dan 67 mg alkohol dalam 100 ml air kencing. – BERNAMA

- Advertisement -