Teguhkan kekuatan rohani Muslimat DUN Panching

PAYA BESAR: Muslimat PAS Kawasan Paya Besar terus memperteguhkan kekuatan rohani apabila mengadakan Munajat AKIFI Peringkat DUN Panching di Balai Purnama, Chendering, di sini semalam.

Advertisement

Majlis anjuran Kelab As-Sabiqat DUN Panching ini telah disertai ahli Muslimat dari setiap PAS Cawangan bertujuan melahirkan jentera yang alim, haraki dan sufi pada sudut ilmu, gerak kerja dan amal ibadahnya.

Kekuatan sedemikian penting bagi setiap ahli selaku jentera parti agar mampu mengumpul dan mengajak pihak lain terutama pengundi untuk mengenal Islam dan mengizzahkan PAS sebagai parti Islam.

Hadir sama adalah Ketua Muslimat PAS Paya Besar, Ustazah Norzilah Hussain dan Ketua As-Sabiqat Muslimat PAS Paya Besar, Maznun Ishak pada majlis dipimpin Ketua Munajat DUN Panching, Ustazah Hafizah Shamsudin.

Bermula dengan solat Hajat dan bacaan Yaasiin, majlis seterusnya dikendalikan pula oleh Ketua Munajat Muslimat PAS Paya Besar, Sharifah Radziah Syed Ali memimpin zikir munajat sebelum Ustazah Norzilah menyampaikan taujihat.

Dalam ucapannya, beliau memperteguhkan anggota yang hadir dengan peringatan untuk sentiasa bermaklumat secara ilmu dan sentiasa hadir ke program parti di semua peringkat serta mendukung Muafakat Nasional.

“Jika Muslimat orang lama yang kurang dari sudut tenaga tetapi lebih sudut kewangannya, maka boleh beri sumbangan berbentuk kewangan walaupun tidak dapat keluar membuat kerja lapangan,” ujar beliau.

Beliau juga menyentuh betapa persediaan diri setiap ahli adalah untuk melengkapkan diri sebagai antara 12,000 anggota Ansarullah sebagaimana pernah disebut oleh Nabi S.A.W selaku pasukan yang tidak akan dikalahkan.

Pengarah Munajat, Aminah Othman berkata, program yang tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu akan diteruskan secara rutin pada hari Selasa minggu ketiga setiap bulan.

Menurutnya, biarpun dihadiri oleh ramai ahli berusia 55 ke atas yang juga berhadapan isu kesihatan, namun kehadiran mereka dianggap penting dalam mengangkat doa kepada Allah sebagai senjata orang beriman.

Pada majlis itu Ustazah Norzilah memaklumkan betapa kerja pilihan raya memerlukan wang yang banyak, sekali gus melancarkan kutipan Dana Pilihan Raya Tabung Muslimat PAS Paya Besar dan berjaya mengutip RM443.

Hadir sama Ketua As-Sabiqat DUN Panching, Siti Zaliah Sheikh Mahmud. – HARAKAHDAILY 23/9/2020