Politik murahan, dangkal tidak pengaruhi pengundi

'Mood' pengundi PRN Sabah mahu pilih kerajaan negeri sehaluan Kerajaan Persekutuan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kononnya beliau mempunyai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang cukup dan lebih besar untuk membentuk kerajaan hanyalah gimik politik

- Advertisement -

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, ia satu strategi politik murahan pimpinan PH untuk mempengaruhi pengundi Sabah yang akan keluar mengundi pada pada PRN Sabah Sabtu ini.

“Oleh kerana mood rakyat Sabah begitu tinggi untuk memastikan kerajaan negeri yang akan dibentuk selepas PRN nanti adalah kerajaan yang bersama dengan Kerajaan Persekutuan demi untuk kebaikan rakyat Sabah, PH terpaksa membuat kenyataan sebegitu agar pengundi Sabah memberikan undi kepada WARISAN.
 
“Ia satu strategi yang sangat dangkal dan mudah dibaca yang sudah tentu tidak akan mempengaruhi pengundi-pengundi Sabah, apatah lagi kenyataan ini dibuat oleh Dato’ Seri Anuar yang sudah beberapa kali membuat kenyataan-kenyataan yang tidak tertunaikan seperti langkah Kajang, September 16 dan sebagainya.

“Dakwaan beliau mendapat sokongan kuat majoriti Ahli Parlimen Melayu, Bumiputera untuk menyokong PH adalah satu dakwaan palsu kerana pimpinan Melayu Bumiputera ini amat sedar dan mengenali PH yang telah diberi peluang mentadbir negara selama 22 bulan itu,” bidasnya.

Bahkan rakyat juga kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II ini, telah begitu mengenali Pakatan Harapan (PH) secara sungguh-sungguh dengan pengalaman 22 bulan itu.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada rakyat Sabah supaya meneruskan usaha untuk mengembalikan kerajaan negeri yang bersama dengan Kerajaan Persekutuan melalui PRN Sabtu ini. – HARAKAHDAILY 23/9/2020

- Advertisement -