Anwar dan ‘numbers’ siapa nak percaya lagi?

Anwar Ibrahim - Foto: Matakanta Photography
- Advertisement -

JAM 12 tadi saya tekun menanti pengumuman Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebaik dapat notifikasi dari FB Live, kononnya ada pengumuman khas akan dibuat bekas bakal Perdana Menteri itu.

Ya benar sebaik masa yang dijanjikan dia bersama isteri dan orang kanannya, Dato’ Saifuddin Nasution duduk sebaris di meja sidang media, tanpa ada rakan sekutu lain dalam Pakatan Harapan (PH) bersama pengumuman penting itu, tidak seperti pengumuman ‘berhelah’ sebelum ini semasa perang pasca kejatuhan kerajaan PH.

- Advertisement -

Kali ini Anwar kata dia ada bilangan yang besar majoritinya untuk dia menubuhkan kerajaan dan dengan sombong sekali dia mengumumkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin jatuh.

Namun apa yang menghairankan, setakat ini Anwar tidak langsung menyebut nombor majoriti yang dia perolehi malah hanya memgulangi dakwaan ada majoriti kononnya cukup untuk dibawa menghadap DYMM Yang di-Pertuan Agong cadangnya minggu depan.

Mengimbau permainan nombor atau numbers Anwar, tahun ini sahaja beberapa kali rakyat di ‘kencing’ dengan nombor itu malah menjadikan keadaan amat tidak stabil.

Kali ini lihat sahaja Indeks KLCI jatuh 0.7 mata selepas beberapa jam pengumuman Anwar kononnya mahu membentuk kerajaan.

Natijahnya pengumuman itu bukan menguntungkan rakyat dan negara, sebaliknya membuka kepada keparahan ekonomi negara.

Selain itu, sebelum ini kita juga dihidangkan dengan pengumuman Anwar kononnya ada cukup jumlah membina kerajaan, tetapi sama sahaja akhirnya rakyat tertipu lagi.

Bukan itu sahaja, pengikutnya juga tertipu. Kemudian PH beralih mahu menamakan Dato’ Seri Shafie Apdal menjadi PM, tetapi akhirnya sama sahaja tidak juga menjadi kenyataan hinggalah Parlimen bersidang dengan DAP, PKR dan Bebas yang lain menyerang secara terbuka kerajaan Perikatan Nasional, tetapi apakan daya mereka gagal menggoyahkan kerajaan ini.

Rakyat mula ‘memperlekeh’ cubaan demi cubaan Anwar mahupun musuhnya Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mendapatkan sokongan kembali memerintah.

Rakyat telah selesa dengan pentadbiran Perikatan Nasional yang lebih banyak menumpukan kepada kelangsungan kebajikan rakyat.

Pelbagai pakej PRIHATIN yang ditawarkan menyaksikan rakyat mula selesa dan banyak kajian menunjukkan Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional adalah pilihan terbaik yang memualkan hati rakyat.

Rakyat sebenarnya memang telah selesa, malah pada pengamatan saya permainan Anwar ini bakal terus diejek rakyat kerana sejak projek 16 September sebelas tahun lalu, Anwar adalah bakal PM tepi yang gagal menempatkan dirinya ke posisi PM sama ada dihalang bekas bosnya ataupun tercicir dalam permainan politik ini.

Cukuplah Anwar, rakyat sudah tidak percaya dengan kehendak nafsu dan cita-cita kamu lagi.

WAN NORDIN WAN YAACOB
Penulis adalah Ketua Pengarang Harakah dan Harakahdaily
Berpengalaman luas di bidang media selama 20 tahun dan merupakan pemerhati politik negara – HARAKAHDAILY 23/9/2020

- Advertisement -