Tiada tolak ansur perjudian atas talian

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk kompromi melibatkan kegiatan perjudian haram atas talian.

Timbalan Menterinya, Dato’ Ismail Mohamed Said berkata kerajaan memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas bagi membanteras jenayah berkenaan dengan kerjasama pelbagai pihak.

Advertisement

“Pihak kerajaan menempatkan anggota pegawai di lapangan sebagai penguatkuasa undang-undang yang terlibat untuk memberi pelbagai maklumat tertentu seperti pihak operasi dan sebagainya.

“Kita ambil tindakan tegas berkenaan isu-isu perjudian dan kita berkerjasama dengan pelbagai agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak yang mengeluarkan lesen perniagaan juga iaitu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Malah, kerjasama daripada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) yang akan menyekat segala akaun yang melibatkan perjudian atas talian,” ujarnya di sidang Dewan Negara, hari ini.

Ismail berkata demikian bagi menjawap soalan lisan tambahan yang diajukan Senator Idris Ahmad berkenaan dakwaan laporan yang mengatakan tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa tempatan, malah pihak berjauhan yang bertindak. – HARAKAHDAILY 23/9/2020