Muhyiddin lancar Aku Janji GRS

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam melancarkan Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk rakyat negeri ini bagi pilihan raya negeri ini. 

Beliau berkata Aku Janji itu berpaksikan hak Sabah, kepimpinan berintegriti, Wawasan Kemakmuran Bersama dan perpaduan rakyat Sabah.

Menurutnya, Aku Janji itu akan dilaksanakan sekiranya gabungan itu terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) diberi kepercayaan untuk menerajui kerajaan negeri pada pilihan raya 26 September ini. 

Katanya Aku Janji itu perlu dilaksanakan demi pembangunan, kemajuan dan kehidupan lebih baik buat rakyat Sabah, selain sebuah komitmen menyeluruh semua parti dalam gabungan itu untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik buat rakyat Negeri di Bawah Bayu itu. 

- Advertisement -

“Kenapa salinan Aku Janji diserah kepada saya selaku Perdana Menteri ialah kerana antara perkara tersenarai (dalam Aku Janji) ada hubung kait dengan urusan Kerajaan Persekutuan, sebahagian yang lain urusan kerajaan negeri. (Aku Janji ini) tawaran baharu jauh lebih baik daripada WARISAN untuk rakyat Sabah. 

“Ini suatu yang harus kita lakukan disebabkan antara lain Sabah miliki rakyat ramai yang sebahagian besarnya perlukan pembangunan dan kemajuan.

“Rakyat Sabah seperti negeri lain masih perlukan pembelaan dan sokongan pelbagai peringkat kerajaan di negeri dan persekutuan,” kata Muhyiddin, yang juga Pengerusi PN, ketika melancarkan Aku Janji GRS di sebuah hotel, di sini semalam. 

Turut hadir Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa, Timbalan Presiden PBS Datuk Radin Maleh, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee, Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengerusi PN Sabah Datuk Hajiji Noor.

Muhyiddin berkata Aku Janji itu merupakan sebuah komitmen total daripada parti dalam gabungan GRS bagi mengangkat hidup rakyat ke tahap lebih tinggi terutama dalam menghadapi situasi sukar yang dibawa pandemik COVID-19. 

Beliau berkata COVID-19 membawa bencana yang begitu besar buat dunia dengan Sabah tidak terkecuali dan kesannya rakyat negeri ini sudah menjadi miskin akibat kelembapan sektor ekonomi, justeru sebuah komitmen besar diperlukan bagi mengatasi masalah itu. 

“Komitmen kita bukan biasa, ini sebuah komitmen luar biasa daripada kita bagi membantu rakyat menghadapi situasi sukar yang tidak pernah dihadapi (rakyat). 

“Bila semua parti ini mendukung perjuangan sama, percayalah kepada kami yang akan membentuk sebuah kerajaan yang prihatin buat rakyat Sabah. Kami bukan kerajaan lalu, janji tidak ditunai, kerajaan kawan saya (Kerajaan Negeri Sabah) bantuan COVID-19 sampai hari ini tidak sampai,” katanya. 

Sementara itu empat paksi yang terkandung dalam Aku Janji itu ialah Hak Sabah yang menggariskan tiga perkara termasuk memelihara dan terus memperjuangkan hak-hak negeri Sabah berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

Dua perkara lain dalam paksi pertama berkenaan ialah membentuk Jawatankuasa khas Dewan Undangan Negeri (DUN) mengenai Hak Sabah serta  menubuhkan Majlis Petroleum Sabah dan Dana PetroSabah bagi memelihara kepentingan generasi akan datang. 

Paksi kedua pula ialah kepimpinan yang bersih, berintergriti, cekap, amanah dan mendahulukan rakyat Sabah serta membina keyakinan rakyat terhadap integriti penjawat awam Sabah. 

Teras ketiga adalah memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 sebagai tunjang yang menggariskan Sabah diberikan perhatian dalam usaha mengecilkan jurang pembangunan antara wilayah serta  menjana ekonomi tinggi dengan mengambil kira Revolusi Industri 4.0. 

Paksi yang keempat pula adalah perpaduan rakyat Sabah yang menggariskan tiga perkara termasuk memastikan kebebasan beragama, dasar perlembagaan negara dipertahankan dan memupuk semangat integrasi nasional dengan berpandukan kepada Rukun Negara. – BERNAMA

- Advertisement -