Hari Malaysia: PJ Selangor rai bersama warga Sijangkang

- Advertisement -

KUALA LANGAT: Ahli Kariah Masjid Jamiul Ehsani telah memaknai sambutan Hari Malaysia dengan menganjurkan program Kayuhan Merdeka yang diadakan di sekitar Kampung Sijangkang, di sini semalam.

- Advertisement -

Program anjuran bersama pihak masjid dengan kerjasama ES Mart, HM Global Marketing dan Sugeh Ternak Sijangkang ini telah disertai lebih 300 penduduk kampung melibatkan pelbagai peringkat umur dari kanak-kanak hingga warga emas.

Kayuhan ini telah disempurnakan perasmian dan pelepasan peserta oleh ADUN Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor disaksikan Nazir Masjid Jamiul Ehsani, Zainal Ulum Ahmad Hasah di Dataran SRITI Sijangkang.

Selain mengeratkan ukhuwah dan silaturahim antara warga penduduk, kayuhan itu juga menyemarakkan semangat patriotisme, selain turut berhenti di beberapa ‘checkpoint’ mengadakan ziarah khusus kepada penduduk.

Mereka dikunjungi itu adalah dalam kalangan veteran tentera, polis dan pesara kerajaan serta individu-individu yang diketahui banyak menyumbang bakti kepada masyarakat khususnya di Kampung Sijangkang ini.

Setiap yang dilawati telah diberikan cenderahati khas sebelum peserta kayuhan sejauh 20 kilometer itu menamatkan acara dengan menaikkan bendera dan menyanyikan lagu Negaraku bersama-sama di Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang. – HARAKAHDAILY 17/9/2020

- Advertisement -