Kerajaan PH Selangor gagal jaga kebajikan rakyat

Pemandangan dari seberang Sungai Pelempas di Desa Subang Perantau 2, barisan kediaman penduduk dimusnahkan semalam (gambar kecil: Ustaz Hanafi Zulkapli)

KUALA LUMPUR: Tindakan Kerajaan Selangor merobohkan 19 buah rumah penduduk di Desa Subang Perantau bukti kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan kebajikan penduduk.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS), Ustaz Hanafi Zulkapli berkata pihaknya sangat kecewa dengan tindakan meroboh rumah penduduk dengan alasan untuk melaksanakan projek pelebaran sungai bagi mengelakkan kejadian banjir.

Advertisement

“Peristiwa sedemikian bukan pertama kali berlaku sepanjang Pakatan Harapan (PH) memerintah negeri itu,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau mempersoalkan kewajaran meneruskan pelan pelebaran sungai sehingga terkena kepada kawasan rumah sekali gus perlu dirobohkan, sedangkan ada cadangan untuk pelebaran dibuat tanpa melibatkan kawasan perumahan penduduk.

Selain itu, katanya penduduk juga telah membuat rayuan hak untuk menduduki tapak secara sah hampir lebih 15 tahun, sedangkan sebahagian besar penduduk kawasan yang sama telah memperolehi hak hanya berbaki lebih kurang 19 lot sahaja.

Dalam pada itu, katanya pampasan perpindahan yang diberi jauh lebih rendah dari nilai rumah semasa.

Malahan, tawaran untuk menduduki rumah di Rimbayu didakwa belum wujud melainkan setelah 3 tahun sebagaimana video dari BMF Media TV pada 5 Jun lalu.

“Wakil rakyat yang berkaitan jelas gagal memainkan peranan sebagai pemimpin rakyat yang dipilih bagi mencari penyelesaian untuk menjaga kebajikan penduduk.

“Jika benar merobohkan rumah pada kawasan yang tidak dapat dielakkan kerana tiada pilihan lain, sepatutnya kebajikan penduduk mesti dijamin dari sudut menyediaan penempatan baru yang telah wujud sedia ada, bukannya baru hendak dibina.

“Pampasan ganti rugi mesti setimpal atau tidak jauh beza dengan nilaian semasa diberikan kepada penduduk yang dirobohkan rumah,” ujar Hanafi. – HARAKAHDAILY 4/9/2020