Tiada keperluan tubuh parti baharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penubuhan Parti Anak Muda yang dicadangkan oleh mantan Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah satu retorik dan tiada keperluan untuk menubuhkan parti baharu, demikian kata Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

Beliau beranggapan bahawa menubuhkan parti baharu akan menambahkan perpecahan politik orang Melayu berikutan telah banyak parti diwujudkan.

- Advertisement -

“Kewujudan Parti Pejuang sudah dilihat memecah-belahkan lagi politik orang Melayu. Pada masa yang sama, kewujudan Parti Anak Muda pula memecah-belahkan rakyat antara golongan muda dan golongan tua.

“Politik ‘pecah-belah’ ini bakal merugikan suara anak muda di Malaysia jika mereka terkeliru dengan janji manis yang dibawa untuk PRU-15 (Pilihan Raya Umum ke-15),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, Syed Saddiq telah mengesahkan untuk menubuhkan sebuah parti baharu pelbagai bangsa yang memberikan keutamaan kepada golongan muda dan tidak akan menyertai parti Pejuang yang ditubuhkan oleh bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun katanya, anak muda tidak perlu risau kerana sayap-sayap pemuda parti kerajaan hari ini mempunyai kerjasama yang utuh dan kukuh sebagai platform membawa suara anak muda di dalam kerajaan.

Jelas Shahir, gabungan kerjasama antara sayap pemuda dan puteri antara BN dan Gagasan Sejahtera melalui Muafakat Nasional (MN) menjadi satu tawaran terbaik untuk merealisasikan harapan anak muda.

Beliau juga berpendapat bahawa sinergi antara pemimpin muda dan senior adalah penting kerana pemimpin muda mempunyai idea baru dan pemimpin senior mempunyai pengalaman berharga untuk dikongsikan.

Tambah Shahir lagi, sekiranya Parti Anak Muda ditubuhkan, sumbangan dana yang diperolehi untuk menggerakkan parti perlu dinyatakan dengan jujur dan bukannya datang daripada ‘tauke-tauke tua’ yang akhirnya menjadi penentu dasar parti itu.

Menurutnya, perlu dilihat kepada realiti bahawa Parti Anak Muda tidak mungkin akan bertanding di 222 kawasan parlimen dan menang 112 kerusi untuk membentuk majoriti mudah membentuk kerajaan.

“Oleh itu, sayap-sayap pemuda adalah pilihan terbaik anak muda. Diharapkan kepimpinan parti politik akan memberikan lebih banyak ruang kepada pemimpin muda untuk PRU-15,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/9/2020

- Advertisement -