Ikan, kerang dari perairan Johor selamat dimakan

JOHOR BAHRU: Semua jenis ikan dan kerang-kerangan di perairan Johor selamat dimakan dan Jabatan Perikanan Negeri tidak pernah melarang orang awam daripada memakan hasil laut yang diperoleh dari perairan negeri itu.

Pengarahnya, Noraishah Hashim berkata masyarakat telah keliru dengan notis yang dikeluarkan pihaknya berhubung kemunculan Ledakan Alga Berbahaya (HAB) daripada spesies Alexandrium Minutum di perairan Selat Tebrau, yang dimuat naik di laman Facebook rasmi jabatan berkenaan, 30 Ogos lepas.

“Ekoran daripada itu, masyarakat umum mulai panik dan takut untuk membeli ikan dan kerang-kerangan di pasaran,”  katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Advertisement

“Ini kerana HAB tersebut hanya berlaku di Selat Tebrau Timur sahaja (melibatkan perairan Kulai Masai-Teluk Jawa) dan bukannya di keseluruhan perairan negeri. Sekiranya terdapat tanda-tanda kemunculan alga itu, orang ramai sepatutnya segera melaporkannya kepada pejabat ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu HAB tidak lagi berlaku di kawasan Selat Tebrau namun pemantauan berterusan masih dilaksanakan sehingga kini. – BERNAMA