Kerajaan PN diharap tangani isu integrasi kaum

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diharap berusaha mewujudkan perpaduan dan integrasi dalam kalangan pelbagai etnik di Malaysia setelah semua kerajaan sebelumnya gagal kerana tunduk kepada desakan politik semata-mata.

- Advertisement -

“Janji ditabur dan dasar yang baik digubal, namun matlamat penyatuan dan integrasi tetap tersasar. Ini terjadi begini kerana pemimpin politik menggubal dasar tetapi orang lain yang melaksanakannya.

“Pelaksana mungkin ada agenda yang berbeza. Justeru, kesefahaman antara penggubal dan pelaksana amat penting dan diperlukan,” ujar Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Jayum Jawan.

Beliau berkata demikian dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN: ‘Pencapaian, Harapan dan Cabaran’ anjuran Pertubuhan Intelektual Negara di Persatuan Alumni UM Club House, Damansara, di sini semalam.

Katanya, hal ini merupakan cabaran kepada PN kerana rakyat sudah mahu terlibat dalam proses membina negara bangsa Malaysia yang bersatu-padu dan maju di masa hadapan.

Jelasnya, walaupun Kerajaan PN baru berusia enam bulan, tetapi ia harus berhadapan segala isu yang telah diperbuat kerajaan-kerajaan sebelumnya sejak lebih 60 tahun di mana rakyat sedang melihat perbezaan akan dilakukan.

Beliau menyentuh mengenai jawatan utama dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan termasuk dalam Jemaah Persekutuan yang dimonopoli oleh satu etnik yang tidak menunjukkan perkongsian kuasa sebenar.

Perkara sama kemukanya, turut berlaku dalam amalan di Institut Pengajian Tinggi Awam yang juga menggambarkan tiadanya perkongsian dengan kaum pelbagai, selain juga faktor lantikan jawatan adalah bersifat politik.
 
“Apa Kerajaan PN bersedia melakukan sesuatu untuk meningkatkan perpaduan dan integasi di mana kerajaan sebelumnya gagal? Satu daripada inisiatif Kerajaan PN ke arah itu ialah penubuhan Majlis Penasihatan Perpaduan Negara (MPPN).

“MPPN meruapakan ‘platform diskusi yang membincangkan isu-isu dan cabaran perpaduan secara lebih strategik di samping mencapai jalan penyelesaian yang lebih praktikal, dan mampu direalisasikan, sejajar dengan keperluan dan tuntutan semasa masyarakat negara ini’.

“Hasrat majlis itu amat baik dan memberangsangkan tetapi ia perlu diekori cadangan yang baharu, komprehensif dan melintasi pelbagai aspek dan sektor,” hujahnya. – HARAKAHDAILY 2/9/2020

- Advertisement -