Ceroboh Tanah: Sokong ketegasan MB Pahang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Pahang menyokong penuh tindakan kerajaan Negeri Pahang yang bertindak tegas terhadap pekebun Musang King di Raub yang mengusahakan tanaman buah itu secara haram di atas tanah kerajaan serta kawasan hutan simpan.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar dalam kenyataan hari ini berkata, ketegasan dan komitmen itu sama sekali tidak bermaksud untuk menindas dan bertindak zalim ke atas pekebun durian musang king yang diterokai mereka secara haram selama ini.

- Advertisement -

Sebaliknya tindakan tersebut merupakan satu didikan kepada rakyat di negeri itu agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah termaktub, tidak mengira status bangsa dan kedudukan mereka bersesuaian dengan Negeri Pahang yang juga memiliki penduduk majmuk.

Beliau yang juga ADUN Tanjung Lumpur berkata, tindakan tegas diambil kerana keadaan itu adalah sesuatu yang bakal sedikit demi sedikit menjadikan Pahang semakin berkemelut dengan isu tanah.

Sementara itu, PAS Pahang turut berpandangan bahawa ia adalah isu negeri dan perlu diselesaikan mengikut undang-undang serta mesti kelihatan adil kepada semua pihak, memandangkan isu berkenaan telah berlarutan sejak sekian lama dan melibatkan semua kaum.

Justeru itu, pihaknya meminta agar isu berkenaan dapat diselesaikan dengan tidak sedikit pun melibatkan elemen perkauman.

Demikian itu katanya, PAS Pahang meminta supaya pihak kerajaan dan pihak berkuasa dan agensi terbabit memainkan peranan penting dalam isu tersebut untuk membuat tindakan dan siasatan jika berlakunya rasuah di dalam isu ini.

“Rakyat sedang memerhati dan menilai kewibawaan Kerajaan Negeri ketika ini, PAS Pahang melihat rundingan antara kerajaan dan pekebun mesti perolehi keputusan yang bersifat menang menang, bukan sahaja kepada pekebun Musang King tapi juga kepada pekebun pertanian lain.

“Bukan sahaja kepada tindakan yang akan datang tapi juga kepada tindakan sebelum ini yang akan menjadi timbang tara rakyat terhadap keputusan kerajaan negeri, maka undang-undang dan peraturan mesti menjadi dasar untuk berlaku adil kepada sesiapa pun, maka kerajaan mesti bersikap tegas dengan undang-undang dan peraturan yang sedia ada,” katanya.

Di samping itu beliau turut meminta agar kerajaan melihat ke arah isu lain yang berkait seperti kelulusan permohonan tanah yang sekian lama, pembukaan tanah kelompok terutama kepada generasi baru rakyat Pahang serta pelbagai lagi isu berkaitan tanah.

Bagaimanapun, PAS Pahang berharap agar isu ini segera diselesaikan secepat mungkin serta diuruskan secara bijaksana oleh pihak kerajaan negeri.

“PAS Pahang sekali lagi bertegas menyokong kerajaan membuat pemutihan dan penegasan terhadap sebarang aktiviti pertanian secara haram di Negeri Pahang, jika tidak dibendung segera, pencerobohan tanah secara haram pasti akan semakin rancak, bukan sahaja di Raub, malahan seluruh tanah Pahang,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 2/9/2020

- Advertisement -