Sabah, Sarawak ‘key states’ survival politik negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Latar belakang politik di Sabah dan Sarawak masih berkisar kepada isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di mana ia sering menjadi mainan ahli-ahli politik hingga boleh menimbulkan sentimen dalam kalangan akar umbi rakyat.

Perkara itu ditegaskan Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak, Dr Arnold Puyok dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN: ‘Pencapaian, Harapan dan Cabaran’ anjuran Pertubuhan Intelektual Negara di Persatuan Alumni UM Club House, Damansara, di sini hari ini.

Menurut beliau, kesetiaan kepada parti tidak wujud dalam sokongan politik di kedua negeri tersebut tetapi lebih kepada kecenderungan dan dukungan kuat terhadap individu ahli politik melibatkan pengaruh dan karisma dimiliki.

Tetapi katanya, corak sokongan politik di Sabah dan Sarawak sudah berubah dan terkehadapan di mana amat penting dalam mencorak landskap politik Malaysia secara keseluruhannya, bahkan satu ketika dilihat lebih kuat berbanding Kerajaan Pusat.

Ketika sama ujar beliau, perkara tersebut disumbangkan oleh faktor pemimpin politik di kedua negeri itu mampu mengarusperdanakan isu-isu semasa, termasuk berkaitan autonomi yang sangat positif untuk Sabah dan Sarawak.

- Advertisement -

Dalam kertas kerjanya, Dr Arnold menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak akan menjadi key states yang boleh menentukan survival politik Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekali gus penting dalam percaturan politik negara.

“Kehadiran BERSATU di Sabah bukan hanya dilihat sebagai cubaan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyebarluaskan pengaruh BERSATU di luar Semenanjung Malaysia tetapi juga dijadikan sebagai pemangkin kepada cabaran yang diberikan oleh Umno dan PAS.

“Bagi Sarawak pula, 20 kerusi Parlimen GPS dan BERSATU adalah penting bagi mengimbangi kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin di peringkat Persekutuan. Pembentukan kabinet pada 9 Mac memperlihatkan pemimpin daripada Sabah dan Sarawak dilantik menjadi Menteri.

“Ini signifikan oleh pelbagai pihak kerana ia akan memastikan isu-isu pembangunan khusus kepada Sabah dan Sarawak dapat diberikan perhatian yang sewajarnya,” ujarnya mengakui Muhyiddin cuba meletakkan kedua negeri itu dalam pembangunan arus perdana. – HARAKAHDAILY 1/9/2020

- Advertisement -