Kepimpinan Muhyiddin diakui, sebaliknya Tun M gagal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketika negara lain masih teragak-agak bertindak terhadap pandemik COVID-19, Malaysia telah mengambil langkah tegas dan pantas sejak 18 Mac bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr R Sivaperegasam P Rajanthiran menyifatkan perkara itu dengan kepimpinan yang sangat baik kerajaan diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain memberi kuasa penuh dan tidak mencampuri urusan penjawat awam.

Beliau mengadakan pembentangan dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN: ‘Pencapaian, Harapan dan Cabaran’ anjuran Pertubuhan Intelektual Negara di Persatuan Alumni UM Club House, Damansara, di sini hari ini.

Perkara tersebut dikemukakan beliau dengan kedinamikan dan ketrampilan yang dapat diperlihatkan melalui Menteri Kanan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, selain pakej rangsangan ekonomi diumumkan.

“Sebanyak RM250 bilion pada 27 Mac lalu iaitu di peringkat awalan lagi pada masa itu. Dan seterusnya ditambah lagi dengan jumlah sebanyak RM10 bilion melalui pakej PRIHATIN Tambahan yang dimumkan pada 16 April.

“Dan yang ketiganya Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang berjumlah RM35 bilion yang diumumkan pada 5 Jun lalu. Jadi inilah rentetan bantuan telah dihulurkan oleh Kerajaan PN,” ujar beliau memuji efektif dan keberkesanan membendung ancaman COVID-19 ini.

Jelas beliau juga, kejayaan yang dinamik dan prihatin terhadap rakyat itu jauh baik mengatasi negara-negara lain, bahkan kemampuan termasuk menangani kesan atas ekonomi mendapat liputan media, walaupun hakikatnya PN memiliki majoriti kecil di Parlimen.

Beliau turut menyifatkan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘drama’ yang susur galur itu bukan sahaja membawa perpecahan dalam Pakatan Harapan tetapi juga caca merba kepada politik.

- Advertisement -

Beliau juga menegaskan bahawa usul undi tidak percaya oleh Tun Mahathir memang mahu menggulingkan kerajaan pimpinan Muhyiddin, selain mempertikaikan tujuan PEJUANG ditubuhkan.

Kata Dr Siva, PEJUANG tidak akan berjaya kerana rakyat semakin celik politik dan ia akan menjadi satu parti yang terpinggir nanti setelah memimpin PH dengan rekod buruk. – HARAKAHDAILY 1/9/2020

- Advertisement -