Lagi kuat menyalak, lagi jelas ketakutannya

- Advertisement -

KHAMIS terdahulu, bekas Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan mengetuai sekumpulan ahli Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sarawak menampal pelekat tulisan Cina di tiga papan tanda jalan iaitu di Jalan Main Bazaar, Lebuh Wayang dan Jalan Greenhill dengan alasan ia perlu diterjemahkan untuk keperluan pelancong dari China

- Advertisement -

Walau bagaimanapun tiga hari selepas projek menampal pelekat itu ‘kantoi’ setelah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengarahkan DAPSY Sarawak itu segera menanggalkan tulisan Cina di papan tanda jalan itu serta memohon maaf secara terbuka. Kononnya mereka bersedia menanggalkan pelekat tetapi bersyarat.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Cheing Jen berkata, DAPSY akan menanggalkan pelekat tetapi pada masa sama, Ketua DAPSY juga akan memberikan surat rasmi meminta DBKU untuk kembali menggunakan dua bahasa iaitu Melayu dan Cina pada papan tanda jalan seperti yang pernah berlaku suatu ketika dulu, dakwa mereka.

Mereka juga bersedia ‘membantu’ DBKU mencetak tulisan Cina untuk nama tiga jalan itu yang disertakan bersama surat permintaan kepada DBKU. Sampai begitu sekali kehendak mereka!

Terdahulu pada 30 Julai lalu, ADUN Tras daripada DAP Pahanh, Chow Yu Hui telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuantan mencabar ketetapan Kerajaan Negeri Pahang mewajibkan tulisan Jawi di papan-papan tanda dan iklan di premis perniagaan.

Beliau mendakwa, Kerajaan Pahang dan kerajaan tempatan tidak harus memaksa orang ramai, terutama pemilik perniagaan, NGO atau mana-mana pihak untuk menyertakan tulisan Jawi di papan tanda mereka.

Apa yang sedang berlaku? Pihak DAP mahu tulisan Cina dan menentang tulisan Jawi.

Sebuah televisyen swasta pernah melaporkan satu program berbentuk bengkel yang bertajuk ‘Kaligrafi Cina Pupuk Semangat Perpaduan’. Laporan berkenaan menimbulkan persoalan masyarakat.

Pada masa sama ketika itu tulisan Jawi yang merupakan warisan rakyat Malaysia ditentang sama sekali diajar di institusi pendidikan mahupun di premis perniagaan mereka.

Seorang pendakwah Islam terkenal berketurunan Cina, Firdaus Wong Wai Hung antara yang menyatakan kekeliruan mengenai kedudukan kaligrafi Cina dan tulisan Jawi di Malaysia.

“Belajar kaligrafi Cina dapat menyatu-padukan rakyat Malaysia manakala belajar Jawi ditentang habis-habisan? Kenyataan begini menjadikan saya keliru. Kita di Malaysia atau di China dan bahasa kebangsaan kita apa sebenarnya?” tanya Firdaus.

Menurut Pakar Perlembagaan, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Muhammad Fathi Yusof, kedudukan tulisan Jawi sangat tinggi dan berkait rapat dengan identiti dan jati diri negara.

Beliau berkata, jika dilihat dalam konteks lebih luas, negara mempunyai jati diri yang terangkum melalui beberapa peruntukan Perlembagaan.

Antaranya ialah kedudukan bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan di bawah Perkara 3 dan kedudukan Raja-raja Melayu. Apabila semua ini dirangkumkan, kita dapat melihat kedudukan Jawi sebagai satu tulisan berada pada kedudukan yang tinggi.

“Terdapat dua tulisan dalam bahasa Melayu iaitu Jawi dan Rumi. Kedua-dua tulisan ini digunakan secara bersama. Tulisan Jawi lebih awal digunakan untuk bahasa Melayu kerana ketika bahasa ini berkembang sebagai bahasa ilmu, tulisan pertama diperkenalkan ialah tulisan Jawi yang berkembang seiring dengan perkembangan Islam,” jelas beliau di dalam akhbar Kosmo baru-baru ini

Bahasa Melayu dan tulisan Jawi adalah dua ‘masterpiece’ atau khazanah negara yang termaktub di dalam Perlembagaan. Di dalam Artikel 152, tulisan bagi bahasa Melayu dinyatakan sebagai Rumi atau tulisan Latin. Walau bagaimanapun, penggunaan Jawi tidak dilarang menurut Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967. Semua wajib maklum tanpa pertikaian!

Bahasa Melayu adalah ‘lingua franca‘ dan bahasa penghubung (vehicular language) di Malaysia tanpa mengenepikan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa asli (vernakular).

Bahasa vernakular merupakan bahasa asli dalam lingkungan sebuah komuniti penuturnya. Contoh, bahasa Cina dan bahasa Tamil. Bahasa vehicular pula menjangkaui batas komuniti asalnya, lalu dijadikan bahasa kedua sesebuah negara selepas bahasa ibunda untuk kegunaan rasmi perhubungan antara komuniti.

Jelas wahai DAP?

Jika seorang anak kecil menangis, memberontak dan buat perangai, itu tandanya dia mahukan perhatian. DAP bukan ‘anak kecil’. DAP sudah ‘berumur’. Ohh ya…. orang kata bila kita sudah tua dan berumur kita semakin ‘hilang ingatan’, jadi macam budak-budak balik dan dihantui simtom ‘ketakutan’.

Mungkinkah ada kebenarannya?

Menurut catatan Lim Hong Siang di dalam satu artikelnya di laman MalaysiaKini, kegusaran sebenar yang menyelubungi masyarakat Cina dalam isu tulisan Jawi ini ialah orang Cina bimbang seandainya ‘pengenalan seni khat’ hanya langkah pertama, sebelum ‘pembelajaran tulisan Jawi’, yang berakhir dengan proses Islamisasi.

“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(al-Baqarah: 256)

Masyarakat Islam ditegakkan di atas asas kebebasan, kedamaian dan kesejahteraan sejagat. Seluruh ajarannya adalah satu sistem hidup yang syumul, menjamin kedamaian serta melindungi keselamatan agama, nyawa, akal, keturunan maruah dan harta benda warga masyarakatnya termasuklah orang bukan-Islam.

Islam agama toleransi. ‘Takut’ hanyalah satu persepsi!

‘Ketakutan’ ini muncul rentetan langkah kerajaan men’jelma’kan semula tulisan Jawi di dalam sistem pendidikan dan galakan menggunakannya di dalam institusi pentadbiran, perniagaan dan dalam kalangan masyarakat awam. Khusus buat generasi muda hari ini yang mungkin tidak tahu langsung menulis jauh sekali tahu membaca Jawi.

Seorang pakar tulisan Jawi berbangsa Korea, Prof Dr Kang Kyoung Seok, daripada Pusan University of Foreign Studies, mula mengkaji tulisan Jawi sejak 1974 dan menganggapnya sebagai satu keunikan milik Malaysia. Walau bagaimanapun menurutnya, tulisan Jawi sedang ‘tenat’ dan jika keadaan itu berterusan, ia mungkin pupus satu hari nanti.

Menurutnya, “Malaysia perlu mendidik generasi muda dalam tulisan Jawi. Sekarang terlalu ramai pakar saya kenali sudah bersara tanpa ada pengganti. Bila pakar sudah tiada, siapa akan menerajui usaha pemeliharaan tulisan jawi nanti?”

Tulisan jawi sakit, DAP pula yang tenat?

Seorang penulis yang menggelarkan dirinya ‘senior editor’ telah membongkar ‘suatu rahsia’ yang agak menarik untuk kita renungkan bersama

Semasa PH memerintah 22 bulan imej DAP sangat teruk di mata rakyat terutamanya masyarakat Melayu dan orang-orang Islam. Perpaduan kaum menjadi robek dan musnah kerana sikap mereka apabila dapat kuasa yang ingin mencapai matlamat menguasai politik setelah mereka menguasai ekonomi.

Setelah PAS dan Umno memberikan sokongan kepada Muhyiddin membentuk Kerajaan Pakatan Nasional (PN), hanya dua bulan sahaja telah mampu menunjukkan prestasi yang baik mengatasi pentadbiran PH 22 bulan!

Kerajaan PN bersikap kerajaan rakyat menghargai keluhan hati rakyat mendengar rintihan dan melaksanakan apa yang pernah dijanjikan oleh kerajaan terdahulu.

Kedudukan Melayu dan Islam dikembalikan ketempat asal mengikut Perlembagaan dan jaminan untuk bukan-Islam serta bukan-Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Isu-isu kaum sudah reda dan tidak kedengaran lagi kerana tak ada menteri nak api-apikannya

PH risau, DAP lagi risau. Jadi mereka telah merancang suatu strategi.

Menurut ‘nujuman’ beliau, laskar siber PH akan memainkan peranan secara halus menyerang Kerajaan PN dan mereka akan memperbesarkan setiap perkara kecil dan remeh untuk memburukkan pimpinan PN termasuk mengadu domba dan menyebar fitnah.

Mereka akan cuba menunjukkan kebaikan PH dan DAP. Penulis-penulis upahan akan menyiarkan artikel-artikel yang menunjukkan kebaikan pimpinan PH dan DAP. Mereka akan mengketengahkan keperihatinan pimpinan DAP atau isu kehormanian, kedamaian, anti rasuah dan peri peduli terhadap Islam.

Itu sekadar pandangan peribadi hasil pemerhatian beliau. Terpulanglah kepada kita semua untuk membuat penilaian masing-masing. Apa paling penting misi kita semua pada masa ini, bersama-sama pertahankan ‘kerajaan berhati rakyat’ yang kita miliki ini.

Kita kini berada di saff kerajaan. Tiada lagi ‘rindu bayangan’ seolah-olah masih duduk di kerusi pembangkang. Kuasa sudah ada di tangan. Mari kita belajar menarik nafas panjang dan bertahanlah semampu daya dalam keributan yang sedang menggila.

Biarkan mereka ‘menyalak’. Jangan kita menyalak sama. Lagi kuat mereka ‘menyalak’, lagi jelas ‘ketakutan’ mereka. Pegang kuasa di tangan jangan sampai terlepas. Tutup mulut. Buat tak tahu. Jalan terus!

Biarkan anjing menyalak bukit. Bukit tak runtuh, anjing yang lumpuh.

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.”
(al-Baqarah: 120)

Semoga Allah memimpin kita semua dengan petunjuk-Nya

KHAULAH AL-AZWAR – HARAKAHDAILY 29/8/2020

- Advertisement -