Muslimat mahu kerajaan tangani barah judi

Kuasa kerajaan mesti selamatkan rakyat dari kemungkaran dan maksiat

- Advertisement -

KUANTAN: Kegiatan atau aktiviti maksiat mungkar yang masih berleluasa dalam masyarakat mesti ditangani agar tidak menjadi norma atau budaya ke atas kehidupan rakyat, demikian seru Ketua Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor.

- Advertisement -

Menurutnya, lebih-lebih lagi dengan kuasa pemerintahan yang ada pada kerajaan di mana mempunyai mandat asas di sisi Islam dalam menggerakkan empat agenda utama iaitu mendirikan solat, menunaikan zakat serta melaksanakan amar makruf dan nahi munkar.

“Ada perkara yang telah membarah dalam masyarakat ia tidak dapat selesai dengan nasihat agama sekalipun, ia perlu kuasa. Ianya ‘quwwah’ (kekuatan) yang juga secara perundangannya ada pada kerajaan dan pihak penguat kuasa.

“Jadi antaranya masalah perjudian dalam masyarakat. Ia bukan sahaja salah di sisi agama, bahkan juga ditolak dalam kehidupan. Disebabkan judi, banyak kes moral dan sosial lain meningkat, bahkan juga jenayah,” ujar beliau.

Maklumnya, Muslimat PAS Pahang memandang serius perkara ini terutama berleluasanya masalah ini di kebanyakan tanah FELDA melibatkan pelbagai peringkat umur di mana ia menjadi petunjuk kerosakan dalam masyarakat.

Lantaran itulah katanya, pihaknya telah mengangkat usul supaya Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan bertindak menangani isu ini pada Muktamar Muslimat PAS Pahang di Kompleks Al-Makmur, Kerdau minggu lalu.

Ketua Penerangan Muslimat PAS Pahang, Yusma Yusof dalam pembentangan usul tersebut menyuarakan betapa aktiviti judi tidak terlepas dari dikaitkan dengan kelemahan penguatkuasaan undang-undang.

Sehubungan itu beliau berharap kerajaan lebih tegas untuk menggerakkan penguatkuasaan dijalankan termasuk memantau serta mewujudkan kerjasama dengan masyarakat setempat agar isu ini dapat ditangani secara menyeluruh.

“Isu judi tanpa lesen ini telah lama berleluasa terutama di FELDA-FELDA.Taukeh judi berbangsa asing telah melantik ejen-ejen Melayu untuk menjual produk judi ini di kampung-kampung,” katanya pada pembentangan usul itu.

Beliau juga mahu meluaskan lagi pendekatan memastikan rakyat tidak terlibat dengan sumber pendapatan yang haram dan syubhah malah boleh mendatangkan kesan negatif akibat dari gejala judi tersebut.

Justeru, usul itu memohon pihak berkuasa kerajaan negeri dan Persekutuan agar bertindak serius membanteras aktiviti perjudian yang semakin berleluasa terutama di pekan-pekan kecil, kawasan FELDA dan kampung.

Selain itu lontarnya, kerajaan mesti berusaha mengawal dan mengurangkan kegiatan perjudian berlesen sebagai satu komitmen ke arah menghapuskan sepenuhnya industri judi dalam negeri dan negara ini akan datang. – HARAKAHDAILY 29/8/2020

- Advertisement -