‘Terlupa’ mungkin sebabkan sesal seumur hidup

- Advertisement -

PERNAHKAH anda mengalami situasi ‘terlupa’? Sebagai manusia biasa, terlupa itu adalah fitrah tetapi pada situasi-situasi tertentu ‘terlupa’ boleh membawa padah.

Khamis lepas, di Sungai Petani Kedah, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ditemui meninggal dunia di dalam kereta bapanya yang diletakkan di tempat kerja di Bukit Makmur, Sungai Lalang di sini.

Sumber Berita Harian online dipetik melaporkan, kejadian disedari oleh bapa kanak-kanak itu yang bekerja sebagai pemandu lori ketika ingin pulang ke rumah pada 6:20 petang Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata mangsa dipercayai ditinggalkan di dalam kenderaan itu hampir 10 jam dalam keadaan tingkap tertutup dan enjin kereta dimatikan sejurus selepas menghantar kakak mangsa ke sekolah pada pukul 7:30 pagi.

- Advertisement -

Menurut kebiasaan, bapa mangsa akan menghantar mangsa ke rumah nenek tetapi pada hari kejadian beliau telah ‘terlupa’ lalu terus ke tempat kerja tanpa menyedari mangsa berada di dalam kereta dan sedang tidur di bahagian tempat duduk belakang.

Kejadian menyayat hati ini telah tular di media sosial sehingga mengundang kecaman teruk daripada netizenterhadap si bapa, dituduh cuai dan tidak pandai menjaga anak.

Awal Januari tahun ini, tragedi lebih kurang serupa turut dilapor berlaku di Kuantan apabila bayi perempuan berusia sembilan bulan ditemui mati dalam kereta bapanya di tempat letak kereta Kompleks Tun Razak (Komtur), Indera Mahkota di sini.

Mangsa, Annur Jannatul Syuhada Mohd Khalil yang juga anak bongsu daripada tiga beradik ditemui tidak sedarkan diri ketika bapanya mahu keluar makan pada jam 1 tengahari.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata berdasarkan siasatan awal, bapa bayi berumur 38 tahun itu menghantar anak perempuan sulung berumur 10 tahun ke sebuah sekolah di Kampung Chendering di sini kira-kira jam 7:20 pagi.

“Pada jam 8:25 pagi, bapa mangsa menghantar pula anak kedua berumur enam tahun ke prasekolah di sekolah yang sama sebelum menghantar isteri ke tempat kerja di Indera Mahkota dan terus menuju ke tempat kerjanya di Komtur.

“Sepatutnya mangsa dihantar ke sebuah taska di Indera Mahkota 15 di sini tetapi bapa mangsa ‘terlupa’ dan dianggarkan mangsa ditinggalkan di dalam kereta kira-kira empat jam dari jam 9 pagi,” katanya kepada pihak media.

Menurut pakar kecemasan pediatrik, badan kanak-kanak lebih cepat memanas berbanding orang dewasa dan lebih cepat diserang strok haba.

Dalam masa hanya 15 minit terperangkap dalam kereta yang panas, kanak-kanak berisiko untuk mengalami kerosakan pada otak atau buah pinggang yang boleh menyebabkan kematian. Apabila suhu badan kanak-kanak mencapai 40 darjah Celsius, organ dalaman akan berhenti berfungsi, manakala pada suhu 41.6 darjah Celsius, kanak-kanak berkenaan boleh meninggal dunia.

Apa sebenarnya yang terjadi? Adakah faktor-faktor penarik yang telah menghantar seseorang ke dalam kancah ‘terlupa’? 

Dalam beberapa set penyelidikan yang dijalankan oleh Gabriel Radvansky dan rakan sepasukannya di University of Notre Dame, mereka mendapati bahawa pergerakan bertukar ruang bilik dan berjalan melalui pintu sememangnya boleh membuatkan seseorang jadi ‘pelupa’.

Pakar psikologi berpendapat apabila seseorang bergerak melepasi pintu atau memasuki satu ruang yang baru, ia akan mencipta satu sekatan ke atas mental. Hipotesis ini disokong oleh satu penyelidikan ke atas memori yang mendapati orang melalui pintu mengalami ‘jurang kosong’ di dalam minda.

Misalnya, anda mahu bergegas ke tempat kerja dan terlupa mengambil kunci di bilik tidur. Dalam minda anda sudah pun bersedia untuk keluar tetapi episod baru ‘ambil kunci di bilik tidur di tingkat atas’ ini tercetus secara tiba-tiba.

Ketika anda sedang menuju ke tingkat atas, minda anda terlupa mengenai ‘kunci’ kerana anda sedang fokus dengan ‘pergi ke bilik’. Boleh jadi juga fikiran anda sedang fokus kepada perkara-perkara lain yang lebih besar seperti ‘dah lambat nak pergi kerja’ ataupun ‘tak siap lagi kertas kerja untuk mesyuarat’.

Ini memberi isyarat bahawa seseorang individu perlu fokus kepada hanya satu tujuan. Apabila otak dipaksa berfikir bermacam-macam dalam satu masa, ia pasti akan memasuki zon ‘terlupa’.

Mungkin inilah situasi yang berlaku terhadap bapa kepada kedua-dua mangsa di dalam kejadian tertinggal anak di dalam kereta seperti yang tertera kisahnya di atas.

Dimulai dengan menghantar anak ini ke sekolah sini kemudian anak seorang lagi ke sekolah yang sama tetapi pada masa yang berbeza dan seterusnya terpaksa menghantar isteri pula ke tempat kerja.

Cuba anda perhati dan amati, berapa tempat atau ‘pintu’ atau laluan yang si bapa ini perlu singgah atau masuk sebelum pergi ke ‘pintu’ atau tempat seterusnya iaitu menghantar anak kecil ke pusat asuhan sebelum bapa ini benar-benar masuk ke ‘pintu’ hakiki iaitu ke tempat kerjanya?

Justeru, bukanlah sesuatu yang mustahil apabila si bapa ini mengalami krisis gangguan kerana titik fokusnya telah terganggu lalu dia terperangkap dalam situasi ‘terlupa’.

Pada 10 Julai lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengumumkan Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) telah ditetapkan kepada RM2,208 berbanding kadar RM980 yang telah digunapakai sejak tahun 2005.

Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, pengenalan had baharu itu menjadikan jumlah isi rumah miskin 2019 ialah 405,441, meningkat lebih 16 kali ganda berbanding 24,700 pada 2016.

Apakah signifikannya pengumuman PGK ini dengan kisah di atas. Ia membawa kita kepada satu ‘petunjuk’ dan jawapan. Ramai suami isteri di bandar kini berada di paras kemiskinan sehingga memaksa si isteri terpaksa berkorban keluar bekerja untuk menampung kos kehidupan yang mendesak.

Anak kecil menjadi mangsa keadaan, mangsa yang terkorban atas nama pengorbanan. Dahulu, si suami bekerja si isteri di rumah menjaga dan mengasuh anak. Hari ini apabila kedua-duanya harus keluar bekerja, terpaksalah si bapa mencari satu tempat jagaan srnatif untuk meletakkan anak mereka.

Apa pilihan yang mereka ada? Mereka tidak ada pilihan. Sama ada menghantar anak ke rumah mak sifar kos atau meletakkan anak di taska atau TASTI dan PASTI dengan caj berpatutan dan mampu bayar.

Siapa yang tidak stres jika terpaksa melalui ‘keserabutan’ yang sama setiap hari secara berulang-ulang tanpa henti. Akan tiba pada satu titik, kita pasti kehilangan fokus dan ‘terlupa’.

Otak memerlukan rehat untuk merakam dan menyimpan memori baru. Cara terbaik untuk merehatkan otak ialah melalui tidur yang secukupnya. Orang yang stres sukar mendapat tidur yang berkualiti. Dia akan mendapat sakit sukar mengingat memori jangka pendek.

Kita mungkin boleh menyalahkan si bapa atas faktor kecuaiannya sehingga terlupa, ironinya ketika detik hitam itu berlaku mungkin si bapa sedang berada di dalam minda di bawah sedar berpunca daripada stres, kepenatan dan kurang rehat. Kerajaan amat memandang serius isu ini.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff ketika memberitahu sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, kerajaan telah meminda Akta Kanak-kanak 2001 pada tahun 2016 dengan mengenakan hukuman lebih berat mengikut Seksyen 31 akta berkenaan.

Ujarnya, ia merangkumi penganiayaan, pengabaian, pembuangan dan pendedahan kanak-kanak dengan memasukkan perkataan ‘atau bertindak secara cuai’.

“Tempoh hukuman maksimum penjara dinaikkan daripada 10 tahun kepada 20 tahun. Denda pula dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM50,000 dan perintah khidmat masyarakat sebagai hukum mandatori,” tegasnya  

Beliau berkata KPWKM sentiasa melaksanakan kerjasama dengan agensi berkaitan untuk menjalankan program kesedaran awam terhadap isu berkenaan, antaranya menerusi program Pendidikan Keselamatan Keluarga, Anak-anak (PEKA) dan kursus praperkahwinan iaitu SMARTSTART.

“Kementerian juga menerima maklum balas daripada masyarakat dan ibu bapa yang kemudiannya telah dibincangkan bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya.

“Antara (perbincangan itu) bayi tidak boleh diletakkan di kerusi belakang pemandu kerana ia merupakan titik buta dan meletakkan beg keperluan anak di tempat duduk hadapan bagi memberi peringatan kepada ibu bapa bahawa anak mereka berada di dalam kereta,” ujar Ahli Parlimen PAS dari Rantau Panjang itu lagi.

Kerajaan juga mungkin boleh mewajibkan pemasangan penggera keselamatan yang mampu mengesan kehadiran haba atau ‘seseorang’ di dalam kereta.

Kita juga boleh menjadikan amalan memeriksa tempat duduk penumpang hadapan dan tempat duduk belakang sebelum mengunci kenderaan.

Masyarakat berhentilah mencemuh dan mengadili. Tidak ada mana-mana ibu bapa di dunia ini mahu tragedi hitam ini berlaku dalam sejarah hidup mereka. Pun begitu tidaklah pula dengan wewenangnya ibu bapa boleh berlepas tangan dengan menyandarkan ‘maafkan saya kerana terlupa’ tanpa dipersoalkan kecuaian dan kealpaan mereka.

Semoga kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi di masa akan datang. Anak adalah anugerah dan amanah. Marilah kita berusaha sedaya upaya menjaga amanah ini sebaik mungkin agar nanti kita tidak dihantui penyesalan seumur hidup dek asbab yang kita sendiri tidak boleh terima, ‘terlupa’.

KHAULAH AL AZWAR – HARAKAHDAILY 18/8/2020

PENAFIAN:

HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -