Militan al-Shabaab tawan hotel terkenal

- Advertisement -

MOGADISHU, Somalia: Pasukan khas tentera Somalia berjaya menawan semula sebuah hotel terkenal di ibu negara itu yang dikepung selama empat jam oleh militan al-Shabaab pada Ahad malam, kata jurucakap kerajaan kepada Agensi Anadolu

Sekurang-kurangnya 16 orang, termasuk pegawai dan orang awam terkorban.

Ismail Mukhtar berkata, militan menawan Hotel Elite di Mogadishu selepas meletupkan sebuah kereta di pintu masuk hotel berkenaan.

- Advertisement -

Katanya, seorang pegawai keselamatan terbunuh semasa pertempuran sengit antara pasukan keselamatan dan militan. 

“Pasukan keselamatan berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya 205 orang, termasuk Menteri Kabinet, anggota Parlimen dan orang awam,” kata seorang pegawai polis Guled Salad, ketika dihubungi Anadolu

“Doa saya buat keluarga mangsa ‘LiidoAttack‘. Sungguh sedih apabila mengetahui berlaku serangan terhadap rakyat dan meragut nyawa insan tidak bersalah,” kata Pengarah Perhubungan kepada Presiden, Abdinour Mohamed Ahmed di Twitter.

Al-Shabaab mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu. Jurucakap kerajaan Ismail Mukhtar Oronjo berkata Abdirizaq Abdi Abdullahi, seorang pegawai tinggi di Kementerian Penerangan, adalah antara yang terbunuh.

“Lebih 18 orang termasuk Menteri Kerja Raya negeri Gulmudug, Ahmed Dhiblawe Asir, cedera dalam serangan itu,” kata Oronjo.

Seorang Senator Ilyas Ali Hassan berkata beberapa pegawai kanan terpaksa dipindahkan.

Kejadian itu yang kedua berlaku dalam tempoh dua minggu di Mogadishu.

Pada Selasa lalu, sekurang-kurangnya 19 orang maut dan beberapa yang lain cedera ketika militan al-Shabaab menyerang sebuah penjara di Mogadishu. – BERNAMA

- Advertisement -