‘Saya tak letak jawatan PM’: Sudahlah Tun

- Advertisement -

BUAT kesekian kalinya Tun Dr Mahathir mendakwa bahawa beliau ‘tidak letak jawatan’ bila beliau menyebut di dalam Sidang Parlimen semalam, 13 Ogos 2020, begini:

“Sebenarnya tak ada perletakan jawatan, saya cuma memberitahu kepada Yang di-Pertuan Agong keadaan, iaitu saya terletak jawatan, ini bukan bermakna saya buat keputusan sendiri nak letak jawatan, apabila parti saya keluar daripada Pakatan Harapan, Pakatan Harapan tidak jadi kerajaan lagi dan semua anggota Pakatan Harapan tentulah tergugur kerana tindakan itu.”

Naratif ‘saya terletak jawatan’ ini boleh ditonton di sini: https://www.facebook.com/airtimes.my/videos/350741039648961/?v=350741039648961&external_log_id=479056908b53f8095c154e3ca20c7f17

- Advertisement -

Walaupun naratif ‘saya terletak jawatan’ ini kedengaran begitu pelik, ia sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru kerana sebelum ini, di dalam ucapan kepada para penyokong beliau di TH Hotel, Alor Setar, pada 18 Julai 2020, pun Tun Dr Mahathir mendakwa begini: 

“Tidak benar yang saya ini letak jawatan, saya terpaksa digugur, saya digugur kerana Parti BERSATU keluar daripada Pakatan Harapan dan Pakatan Harapan jatuh tidak lagi jadi kerajaan.” 

Naratif ‘saya terpaksa digugur’ ini pula boleh ditonton di sini: https://www.facebook.com/watch/live/?v=280239996573666&ref=watch_permalink

Dengan hati yang kesal, terpaksa saya nyatakan di sini bahawa naratif ‘saya terletak jawatan’ dan naratif ‘saya terpaksa digugur’ ini, yang mahu memberikan gambaran kepada rakyat jelata kononnya apa yang Tun Dr Mahathir lakukan pada 24 Februari 2020 adalah sesuatu yang betul serta berpunca daripada tindakan pihak lain dan bukannya daripada kemahuan beliau, adalah tidak lain tidak bukan hanyalah satu kekarutan semata-mata.

Naratif bahawa perlakuan Tun Dr Mahathir ini adalah sesuatu yang betul sangat jauh berbeza daripada naratif awal yang beliau bawa sebelum ini bahawa perlakuan beliau ini adalah sesuatu yang silap.

Naratif bahawa perlakuan beliau ini adalah sesuatu yang silap jelas terbukti di dalam sekurang-kurangnya dua kejadian.

Kejadian pertama adalah kandungan Perutusan Khas Tun Dr Mahathir selaku Perdana Menteri Interim pada 26 Februari 2020 yang berbunyi:

“Sebagai manusia biasa saya tidak sunyi dari melaku kesilapan. Saya pohon maaf jika perletakan jawatan oleh saya adalah salah.” 

Naratif ‘saya telah tersilap’ ini boleh ditonton di sini: https://www.facebook.com/watch/?v=2761240987327863

Kejadian kedua adalah kenyataan Tun Dr Mahathir kepada Ahli-ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan, termasuk Datuk Seri Anwar, pada pagi 1 Mac 2020 yang berbunyi:

“Saya telah melakukan kesilapan kerana saya telah memutuskan untuk meletak jawatan… Jadi saya ingin nyatakan kepada kamu sekali lagi saya mohon maaf.” (“I made mistake because I have decided to resign… So I would like to tell you once again I am very sorry.”) 

Naratif ‘saya telah tersilap’ ini juga boleh ditonton di sini: https://mobile.twitter.com/RashidYusoff11/status/1234286503137697792

Naratif bahawa perlakuan Tun Dr Mahathir ini adalah berpunca daripada tindakan pihak lain dan bukannya daripada kemahuan beliau juga sangat jauh berbeza daripada fakta sebenar kejadian.

Fakta sebenar kejadian adalah perletakan jawatan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dibuat sebelum daripada tindakan Tan Sri Muhyiddin membawa BERSATU keluar daripada Pakatan Harapan kerana perletakan jawatan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dibuat pada jam 1:00 tengahari 24 Februari 2020 manakala tindakan Tan Sri Muhyiddin membawa BERSATU keluar daripada Pakatan Harapan pula hanya dibuat pada jam 2:04 petang 24 Februari 2020.

Fakta sebenar kejadian juga adalah tindakan Tan Sri Muhyiddin membawa BERSATU keluar daripada Pakatan Harapan tidak sama sekali menyebabkan Tun Dr Mahathir kehilangan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri kerana tindakan Tan Sri Muhyiddin ini adalah disertai oleh jaminan bahawa, walaupun setelah BERSATU tidak lagi berada di dalam Pakatan Harapan, semua Ahli Parlimen daripada BERSATU akan terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

Naratif ‘saya terletak jawatan’ dan naratif ‘saya terpaksa digugur’ ini juga jelas bercanggah dengan Titah Diraja Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada 18 Mei 2020 dalam mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong bertitah begini:

“Ahli-ahli Yang Berhormat, pada 24 Februari 2020 yang lalu, naratif lanskap politik negara telah sekali lagi digegarkan menerusi perletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ke-7. Sekitar jam 5:00 petang pada hari yang sama, beta telah berkenan menerima menghadap Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir bin Mohamad. Dalam pertemuan tersebut, beta telah meminta Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir bin Mohamad supaya tidak meletak jawatan, namun beliau tetap dengan keputusannya. Beta dengan hati yang sedih terpaksa akur dan menghormati keputusan beliau.”

Titah Diraja ini boleh ditonton di sini: https://www.facebook.com/watch/?v=241484930625694

Takkanlah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong begitu jahil mengenai kandungan Perlembagaan Persekutuan hingga boleh ‘meminta Tun Dr Mahathir supaya tidak meletak jawatan’ jika benar apa yang didakwa oleh Tun Dr Mahathir itu sudah berlaku, iaitu bahawa Pakatan Harapan sudah tidak jadi kerajaan lagi pada waktu itu?    

Sudah-sudahlah mengarut, wahai Tun Dr Mahathir!

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 14/8/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -