Pelitup muka murah legakan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengumuman kerajaan untuk menurunkan lagi harga pelitup muka jenis tiga lapisan kepada RM1.00 seunit bukti kerajaan prihatin terhadap bebanan rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, pengumuman itu sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepada rakyat setelah kerajaan mewajibkan penggunaanya bermula 1 Ogos lalu.

- Advertisement -

“Langkah penurunan harga ini dilihat sebagai inisiatif bagi menggalakkan rakyat untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara).

“Perkara ini penting dalam memastikan usaha mengekang penularan Covid-19 dapat dilakukan dengan lebih efektif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, katanya keprihatinan kerajaan terhadap bebanan rakyat wajar di sokong dengan mematuhi segala arahan kerajaan demi keselamatan bersama.

Dalam masa yang sama, katanya penularan wabak pandemik Covid-19 dapat dibendung apabila semua pihak mengambil tanggungjawab dan patuh kepada SOP yang telah ditetapkan.

Khamis lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Alexander Nanta Linggi, berkata harga siling pelitup muka bagi jualan runcit dijangka akan diturunkan lagi di bawah kadar RM1 sekeping selepas ini.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada kemampuan pengilang tempatan untuk menghasilkan produk itu.- HARAKAHDAILY 14/8/2020

- Advertisement -