PRU15: PN perlu mandat rakyat – Presiden PAS

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: PAS bersedia pada bila-bila masa jika berlaku pilihan raya mengejut manakala, pengagihan kerusinya dalam Perikatan Nasional (PN) selesai 50 peratus.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, bagi mengukuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang, mandat rakyat secara langsung diperlukan dalam pilihan raya nanti.

- Advertisement -

Ini kerana, katanya kerajaan peringkat Persekutuan yang ada sekarang telah mendapat mandat daripada wakil-wakil rakyat.

Menurutnya, Ahli-ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat telah membuat persetujuan sehingga mendapat ‘simple’ majoriti menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

Ketika ditanya, kos mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dijangka meningkat RM1.2 bilion jika diadakan sekarang, kata Dato’ Seri Abdul Hadi, meningkat pun terpaksalah.

“Meningkat itu terpaksalah, kerana (kerajaan) perlu mendapat mandat secara langsung daripada rakyat.

“Sekarang ini kita mendapat mandat daripada wakil-wakil rakyat. Ahli-ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat telah membuat persetujuan sehingga kita mendapat ‘simple’ majoriti untuk menubuhkan kerajaan di peringkat (Persekutuan) Perikatan Nasional.

“Jadi, supaya (kerajaan PN) lebih teguh perlunya kepada mandat secara langsung daripada rakyat,” ujarnya ketika ditanya pemberita di kediamannya selepas Kuliah Dhuha Pagi Jumaat Secara Online di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Mengenai pengagihan kerusi dan logo pilihan raya, kata Dato’ Seri Abdul Hadi, perbincangan itu dimulakan secara berperingkat-peringkat antara negeri dan cadangan menggunakan loga Barisan Nasional (BN) pula pendapat peribadi Pemuda Umno.

“Logo (BN) belum bincang lagi, pilihan raya pun belum tetap lagi. Kita tengok pada persetujuan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional.

“Itu cadangan dia (Pemuda Umno) masing-masing pandangan peribadi. Kita akan bincang peringkat Majlis Presiden (tapi), Majlis Presiden tak bincang lagi.

“Kita (mula) dengan pembahagian kerusi (pilihan raya) secara berperingkat-peringkat. Saya rasa sudah 50 peratus,” jelasnya.

Sementara itu, mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan, PAS pernah bertanding hampir 20 kerusi pilihan raya di Sabah.

Namun, kata beliau, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum mengumumkan tarikhnya kerana masih menunggu keputusan mahkamah.

“Kita (PAS) pernah bertanding di Sabah, bertanding sekitar hampir 20 kerusi. Kita ada (kekuatan), tapi berdasarkan persefahaman bersama dalam PN.

“SPR akan umum bila penamaan calon (Sabah) dan masih (kes) dibawa ke mahkamah. Belum tentu lagi sama ada pembubaran dewan (DUN) Sabah itu sah atau tidak. Tunggu keputusan mahkamah dahululah,” jelasnya kepada pemberita.

Menurutnya, PAS Sabah juga telah bersiap sedia pada bila-bila masa jika diadakan PRN dalam masa terdekat ini.- HARAKAHDAILY 14/8/2020

- Advertisement -