Normalisasi hubungan UAE-Israel hiris hati umat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengadakan hubungan baik dengan Israel telah ‘menikam belakang’ maruah umat Islam di seluruh dunia, lebih-lebih lagi di Palestin.

- Advertisement -

Ia juga sekali gus mengiktiraf Israel walaupun dunia ketika ini mengecam tindakan Zionis dan sekutunya Amerika Syarikat yang membuat penempatan haram di tanah milik umat Islam Palestin.

Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, normalisasi hubungan Israel dan UAE serta segala bentuk kerjasama dua hala tersebut pastinya menghiris hati umat Islam.

UAE menjadi negara Islam ketiga, selepas Mesir dan Jordan yang mengiktiraf Israel selepas Deklarasi Balfour 1948 yang mengisytiharkan penempatan orang Yahudi di sebahagian wilayah Palestin.

Proses penempatan sejak itu kemudiannya telah menjadikan Palestin sebagai ‘wilayah perang’ yang tidak berkesudahan sehingga sekarang ini antara umat Islam dan puak Zionis Yahudi.

“Tindakan balik ke belakang yang dibuat oleh UAE ini bukan sahaja telah membelakangi maruah dan nasib umat Islam Palestin yang ditindas, malah lebih daripada itu, ia seolah-olah mengiktiraf penjajahan dan pembunuhan yang telah berlangsung sekian lama di wilayah berdarah itu,” ujarnya lagi.

Ustaz Ismi juga berkata, adalah amat pelik bagi sebuah negara Islam, malah memiliki penduduk Muslim lebih 70 peratus, tetapi boleh mengiktiraf negara haram Israel dan menjadi Negara Teluk pertama berbuat demikian.

“Perjanjian normalisasi hubungan antara kedua negara itu, yang disokong oleh Amerika sebagai orang tengah, kononnya untuk menghentikan proses penaklukan wilayah Tebing Barat, Palestin, oleh Israel.

“Malangnya, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataannya menyatakan bahawa aneksasi wilayah Tebing Barat hanya ditangguhkan buat seketika dan ianya mesti direalisasikan,” ujarnya.

Beliau mengajak umat Islam menolak dan mengecam keras tindakan itu, sambil mengharapkan Kerajaan Malaysia kekal tidak mengiktiraf Israel dan hubungan diplomasi dengan negara haram tersebut. – HARAKAHDAILY 14/8/2020

- Advertisement -