PAS sangat berpengaruh dalam masyarakat – Ustaz Salleh

- Advertisement -

TAMBUN: Memperkukuhkan daya kekuatan menerusi pembentukan organisasi yang mampan penting sebagai pemangkin bagi kecemerlangan gerak kerja PAS dan mendepani cabaran perjuanganm selain perlu untuk individu berkebolehan diangkat sebagai pemimpin.

- Advertisement -

Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Md Salleh Said menegaskan demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Tambun Kali Ke-34 di Dewan Mahligai Harmoni, Kampung Jasa Ulu Chemor, di sini hari ini.

“Sudah sampai masanya, AJK lama perlu mengundur diri, beri jalan kepada jentera baharu. Ini kerana, konsepnya kita bukan pemula dan pengakhir, (tetapi) kita adalah penyambung. Di Tambun ini, kita tidak dapat menafikan, ramai individu yang boleh diangkat sebagai pimpinan akan datang.

“Demi memajukan gerak kerja PAS Tambun, saya juga (telah) bersedia untuk mengundurkan diri. Kita beri laluan kepada jentera baharu untuk mengemudi perjuangan (PAS) ini. Maka saya harap di peringkat Cawangan dapat teliti perkara-perkara sebegini,” ujarnya.

PAS katanya, walaupun mempunyai keanggotaan yang sedikit dalam kerajaan memerintah ketika ini, tetapi sangat berpengaruh kerana mempunyai kekuatan organisasi dan gerak kerja meluas ke lapangan akar umbi masyarakat.

Sehubungan itu beliau menyeru Ketua-ketua PAS Zon dan 200 perwakilan yang hadir agar bertindak proaktif dan komited dari masa ke semasa bagi menjayakan pelbagai program khususnya agenda tarbiyah, dakwah dan siyasah di zon masing-masing.

“Kita dah jadi kerajaan. Walaupun kita sedikit, kita tetap berpengaruh. Oleh sebab itu, politik pilihan raya bertunjangkan Islam hasil daripada program tarbiyah sangat penting untuk kukuhkan PAS. Harapan kita PAS Tambun mendapat tempat (untuk) bertanding dan menang dalam pilihanraya akan datang.

“Kita (PAS) bersama (ada) dalam kerajaan. Memang banyak karenah, akan tetapi itulah (erti) perjuangan yang sebenar-benarnya,” jelas Ustaz Salleh yang juga merupakan Penyelaras DUN Hulu Kinta. – HARAKAHDAILY 9/8/2020

- Advertisement -