Nelayan kini dapat nikmati caruman PERKESO

- Advertisement -

TAIPING: Seramai 42,000 nelayan buat julung kalinya dibenarkan mencarum dalam skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengikut Akta Perkeso Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) itu bagi menggantikan caruman insurans nelayan kelompok Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), yang akan dilaksanakan mulai Sabtu depan (15 Ogos).

“Hari ini merupakan hari yang bersejarah untuk pertama kalinya pekerja sendiri dalam sektor perikanan dibolehkan oleh Akta Perkeso untuk mencarum dalam PERKESO.

- Advertisement -

“Ini akan memberi perlindungan kepada para nelayan (dan keluarga) dengan caruman akan diambil (dibayar) daripada elaun sara hidup nelayan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Caruman Perkeso Nelayan dan merasmikan Mini Karnival Industri Makanan Bukit Gantang 2020 di Dewan Bunga Raya, Changkat Jering di Bukit Gantang di sini, hari ini.

Katanya, cadangan caruman adalah RM157.20 setahun bagi semua nelayan berdaftar dengan LKIM dan layak menerima Elaun Sara Hidup Nelayan.
 
“Potongan caruman ini akan dilaksanakan secara terus melalui Sistem Program Insentif Nelayan (FIP) secara berperingkat. Untuk peringkat permulaan, potongan bermula 15 Ogos ini melibatkan sejumlah 3,879 nelayan di seluruh negara,” katanya.

Kiandee juga yakin bahawa PERKESO akan mengorak langkah untuk meluaskan perlindungan pada mereka yang bekerja sendiri dalam sektor-sektor lain dalam industri agromakanan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohamed Azman Aziz Mohamed dalam kenyataannya berkata SKSPS menyediakan faedah tunai kepada pencarum di samping rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional.

“Di bawah skim ini, orang tanggungan atau waris mereka layak mendapat Faedah Orang Tanggungan jika pencarum meninggal dunia akibat bencana kerja. 

“Pinjaman pendidikan juga disediakan kepada anak-anak pencarum sekiranya pencarum meninggal dunia atau semasa menerima Faedah Hilang Upaya Kekal berkala,” katanya.

Katanya, jalinan kerjasama antara LKIM dan PERKESO bakal memberi manfaat perlindungan keselamatan sosial kepada golongan nelayan serta berharap untuk memperluas perlindungan SKSPS kepada sektor lain di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan seperti pertanian dan penternakan. – BERNAMA

- Advertisement -