Ayam Gepuk MTB sasar Olimpik Paris 2024

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas gagal dalam misi ke Sukan Olimpik sebelum ini, bekas pelumba negara Nor Effandy Rosli bertekad membantu pelumba pasukan berbasikal Ayam Gepuk MTB meraih tiket dalam acara berbasikal bukit pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Bekas pelumba berusia 52 tahun itu menjelaskan walaupun sasaran berkenaan disifatkan berliku, namun yakin pengalaman luasnya dalam sukan berbasikal dapat membantu dua pelumba pasukan berkenaan iaitu anak perempuannya, Nur Deena Safia serta Tengku Alif Haryz Tengku Hazril mencapai misi berkenaan.

“Sasaran ke Sukan Olimpik itu memang tinggi tapi bagi saya kita ada masa lebih kurang empat tahun lagi. Kalau dana mencukupi dan pendedahan kejohanan antarabangsa diberikan secara berterusan, saya yakin kita mampu mencapai sasaran berkenaan.

- Advertisement -

“Kalau kita lihat pasukan seperti China dan Jepun sentiasa menghantar pelumba ke beberapa kejohanan antarabangsa termasuk Piala Dunia, namun sayangnya kita tidak pernah menghantar pelumba kita ke kejohanan sedemikian,” katanya.

Beliau memberitahu perkara itu pada sidang media penajaan daripada pemilik Restoran Ayam Gepuk Pak Gembus, Mohd Firdaus Wahid, di salah sebuah cawangan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nor Effandy yang merupakan pengurus pasukan berbasikal Sukan Malaysia (SUKMA) Wilayah Persekutuan, memaklumkan, sasaran jangka pendek adalah membantu pasukannya meraih dua pingat emas pada SUKMA 2020 Johor yang ditunda kepada Mac tahun depan.
 
Nor Effandy bukanlah nama asing dalam berbasikal lebuh raya negara, dan antara pencapaian cemerlangnya adalah meraih pingat perak dalam acara lepas beramai-ramai individu pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, selain pernah memenangi pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 1989.

Mohd Firdaus pula memaklumkan penajaan berkenaan adalah berbentuk wang tunai sebanyak RM2,000 sebulan bagi setiap pelumba, dan ia akan digunakan untuk menampung perbelanjaan kedua-dua pelumba tersebut untuk penyertaan kejohanan dan juga peralatan berbasikal bukit.

Sementara itu, Nur Deena Safia dan Tengku Alif Haryz merakamkan penghargaan kepada Restoran Ayam Gepuk Pak Gembus di atas penajaan berkenaan, dan berkata fokus mereka adalah menghadapi SUKMA 2020 Johor.

Pencapaian terbaik yang dilakar Nur Deena Safia, 21 yang merupakan pelajar UiTM Shah Alam, adalah meraih pingat gangsa kategori Bawah 23 Kejohanan Benua Asia di Danao City, Filipina pada 2018.

Tengku Alif Haryz, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi, pula memenangi pingat perak pada Kejohanan Siri Berbasikal Bukit Asia di Sabah, tahun lalu. – BERNAMA

- Advertisement -