Razman mahu angkat Perak ‘Top 5’ pendidikan

- Advertisement -

BAGAN SERAI: EXCO Pendidikan Kerajaan Negeri Perak, Razman Zakaria mahu menjadikan negeri ini sebagai ‘Top 5’ pendidikan negara disamping berusaha memastikan prasarana bagi menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran dilengkapkan sebaiknya.

- Advertisement -

Komitmen tersebut dinyatakan beliau yang juga ADUN Gunung Semanggol ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Bagan Serai (SKBS) di mana memiliki Program Pendidikan Khas Inklusif (PPKI), di sini kelmarin.

Malah, Razman turut menerobos idea futuristiknya untuk merealisasikan hasrat tersebut secara khusus di Daerah Kerian iaitu memastikan peringkat awal akan memiliki sekurang-kurangnya satu sekolah berasrama penuh di Bagan Serai.

Beliau optimis, bahkan melihat semangat memberangsangkan sudahpun menyerlah dari kesungguhan melaksanakan tanggungjawab mendidik murid berkeperluan khas (MBK) di mana memerlukan kesabaran tinggi berbanding murid normal.

“Tenaga pengajar PPKI SKBS dan di sekolah-sekolah lain adalah guru yang paling banyak berkorban dan bersabar dalam mendidik serta mengajar anak -anak murid berkeperluan khas sehingga boleh berdikari dalam hidup termasuk berjaya dalam akademik.

“Ia terbukti sehingga ada di antara mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi dan ada di antaranya kini telah berjaya menjawat jawatan kerjaya yang terbaik.

“Seluruh pengorbanan dan sikap sabar guru-guru ini dalam mendidik anak murid berkeperluan khas wajib dihormati dan di sanjung tinggi oleh segenap lapisan masyarakat,” ujarnya.

Malah kaguminya, SKBS merupakan sekolah yang tertinggi mencatatkan pelajar Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dalam Daerah Kerian apabila mempunyai 71 pelajar MBK di sekolah tersebut.

Kehadiran Razman diiringi Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SKBS, Musa Jalani, tenaga pengajar dan kakitangan bertugas di mana telah diberi taklimat ringkas mengenai sesi persekolahan yang kembali berlangsung pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Turut hadir dalam lawatan itu, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pendidikan Khas, Mohd Fazli Abdullah dan Pegawai Angkat SKBS dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian, Redzuan Mohamad serta Penolong PPD, Rosli Jahaya. – HARAKAHDAILY 7/8/2020

- Advertisement -