Perpaduan kaum menerusi Dasar Pendidikan Negara

- Advertisement -

APABILA bercakap berkenaan perpaduan kaum dalam segmen pendidikan, ia bukanlah satu perkara baru.

- Advertisement -

Bertitik tolak daripada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 yang memberi fokus kepada perpaduan negara bercorakkan Tanah Melayu, akhirnya lahirlah Dasar Pelajaran Kebangsaan yang termaktub di dalam Akta Pelajaran 1961.

Penyata Razak 1956 dengan jelas menyatakan bahawa, “Tujuan Dasar Pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur”.

Meskipun Dasar Pelajaran Kebangsaan yang bermatlamat untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat, namun ia tidak mudah seperti yang disangkakan.

Ini kerana kedua-dua laporan berkenaan mengketengahkan kaedah menyatukan kaum menerusi penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar di dalam sistem pendidikan, di samping menyelaraskan kurikulum bercorak kebangsaan di semua peringkat institusi pendidikan.

Pada tahun 1979, pihak kerajaan telah mewartakan Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Dasar Pelajaran selepas satu jawatankuasa khas mengkaji semula Dasar Pelajaran Kebangsaan ditubuhkan pada tahun 1974 di mana salah satu tujuan kajian semula ini diadakan adalah untuk mewujudkan identiti kebangsaan dan perpaduan negara.

Kronologi pembentukan dasar pelajaran yang dimulai sebelum hari kemerdekaan membuktikan bahawa usaha memupuk perpaduan kaum berlaku hingga ke hari ini, walaupun terdapat pelbagai  provokasi tajam daripada pihak yang cuba menenggelamkan hasrat memperkasakan kesepaduan kaum melalui sistem pendidikan negara.

Tindakan agresif seperti mempertahankan sistem pendidikan vernakular Cina serta mendapatkan pengiktirafan penuh UEC yang jelas bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996, sebenarnya tidak membantu mempercepatkan pengukuhan perpaduan kaum dalam negara majmuk, bahkan ia berpotensi melebar-luaskan jurang kesepaduan kaum khususnya apabila wujud dualisme dalam arus pendidikan.

Dalam hal ini, inisiatif pihak Kementerian Perpaduan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang mengesyorkan pelajaran mengenai Rukun Negara merupakan cadangan sangat praktikal. 

Di antara kandungan pelajaran Rukun Negara yang harus diketengahkan di dalam pengajian tersebut termasuklah mengenai hal kontrak sosial, sejarah kemerdekaan negara, realiti masyarakat majmuk, kepentingan Bahasa Kebangsaan serta kedudukan Raja Berpelembagaan.

Apabila usaha-usaha kerajaan ini berjalan sejajar dengan suasana  masyarakat majmuk, maka tidak mustahil sikap saling hormat menghormati dalam kalangan rakyat berbilang bangsa kembali menebal.

Justeru itu, pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan amat penting bagi membentuk acuan perpaduan kaum dalam negara.

Sekiranya rakyat tidak bersatu hati memartabatkan asas pendidikan negara, maka tidak mustahil satu hari nanti anak cucu kita tidak tenteram walaupun berpijak di tanah air sendiri dan jauh sekali hidup harmoni dalam masyarakat majmuk.

DR AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah – HARAKAHDAILY 7/8/2020

- Advertisement -