KUALA LUMPUR: Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah hasil kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat dan selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8, demikian titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Sesungguhnya, beta telah menggalas amanah dengan telus dan adil selaras dengan konsep raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang menjadi tunjang amalan negara kita.
“Pada masa yang sama, beta juga menghargai kematangan dan kerjasama semua ahli-ahli yang berhormat dan rakyat jelata yang telah memainkan peranan dengan penuh berhemah dan beretika sehingga membolehkan beta menggalas amanah ini,” titah titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada 24 Februari lalu, naratif landskap politik negara digegarkan dengan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-7.
Demikian itu, Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa baginda perlu untuk melantik seorang perdana menteri baharu di bawah Perkara 43, Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa budi bicara untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli dewan.
Susulan itu, pada 25 dan 26 Februari lalu, baginda mengadakan sesi pertemuan secara berseorangan dengan ahli Dewan Rakyat untuk menilai sokongan dan kepercayaan mereka.
Kemudian pada 29 Februari, baginda menitahkan semua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang wakil Dewan Rakyat sebagai bakal perdana menteri.
Namun, atas permintaan beberapa ketua parti politik baginda telah berkenan pula untuk melanjutkan tempoh masa bagi parti politik mengemukakan pencalonan agar masa yang cukup diberikan dalam membuat perhitungan secara demokrasi.
“Sudah tentu setiap pertandingan pasti akan ada penamatnya. Kemelut politik negara tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan dengan tanpa ada penghujungnya.
“Setelah melalui semua proses tersebut dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, beta telah mendapati yang amat berhormat Tan Sri Muhyiddin Haji Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat dan dengan demikian selayaknya dilantik sebagai perdana menteri ke-8,” titah baginda.
Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menaruh keyakinan kepada kerajaan bawah kepimpinan Muhyiddin mampu membawa negara untuk terus mendaki persada kejayaan yang lebih tinggi.
Baginda turut menasihati supaya kerajaan melaksanakan amanah dengan jujur dan penuh tanggungjawab serta tidak sekali-kali mengabaikan kesejahteraan rakyat jelata.- HARAKAHDAILY 18/5/2020