Frontliners menerima penghargaan Dewan Rakyat

Foto: Solahuddin Al-Idrus
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Barisan hadapan negara (Frontliners) menerima tepukan gemuruh di dalam Dewan Rakyat semasa Titah Diraja yang disampaikan oleh Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

- Advertisement -

“Pengorbanan mereka tidak pernah kenal erti penat mahupun takut hinggakan nyawa dan keselamatan diri sendiri menjadi taruhan demi kemashlahatan dan kepentingan orang ramai.

“Justeru, sebagai tanda penghargaan negara, marilah bersama-sama dengan beta berdiri dan memberikan tepukan yang gemuruh kepada semua wira dan wirawati petugas barisan hadapan negara,” titah baginda.

Seri Paduka mengajak ahli Dewan Rakyat dan tetamu yang menghadiri Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, berdiri dan memberi tepukan gemuruh, sebagai simbolik penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan.

Baginda bertitah sedemikian dalam ucapan Titah Diraja bagi Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang bersiaran langsung dari RTM pagi tadi.

Ketika ini seluruh dunia sedang berdepan dengan ancaman Covid-19 yang memberi kesan buruk termasuk Malaysia yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka.

Walau bagaimanapun, baginda menzahirkan keyakinan terhadap kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin untuk berusaha mengurangkan kesan buruk kepada rakyat dan negara akibat Covid-19.

Baginda turut menyeru semua majikan supaya tidak membuang pekerja di kala krisis Covid-19 sedang melanda.

“Dalam menghadapi wabak ini, kerajaan beta berperanan dalam menjamin kesejahteraan dan keselamatan rakyat jelata.

“Ini termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang terperangkap di luar negara

“Beta juga memahami banyak industri dan perniagaan terjejas akibat wabak ini.

“Namun beta menyeru kepada para majikan untuk tidak membuang pekerja dengan sewenang-wenangnya semua pihak hendaklah bersedia melakukan pengorbanan dan berusaha menyelamatkan ekonomi negara,” titah baginda.- HARAKAHDAILY 18/5/2020

- Advertisement -