Bila penjawat awam dipercayakan kepakarannya

- Advertisement -

DI SAAT ada media yang cuba memfokuskan isu kekurangan PPE semalam sehingga mencetus rasa panik [1], saya tetap menganggap sidang media Ketua Pengarah Kesihatan petang kelmarin adalah berita paling baik pernah kita dapat sepanjang wabak ini. Kenapa? Kerana Dr Noor Hisham adalah penjawat awam. Dia bukan ‘people pleaser’ yang perlu cari undi rakyat untuk mengekalkan jawatan.

Jadi apabila beliau mengatakan PKP Fasa 3 (bermula hari ini) berkemungkinan mampu menamatkan terus wabak, ia adalah satu khabar gembira yang menenangkan jiwa setiap kita. Kata-kata beliau bersandarkan statistik kejayaan yang sangat memberangsangkan:

- Advertisement -

(1) Semalam adalah hari ke-5 kita mencatatkan kes sembuh mengatasi kes positif baharu. Dan semua ini berlaku hanya dalam tempoh 8 hari.

Ini bermakna pada minggu terakhir PKP Fasa 2, hanya 3 hari kita mencatatkan peningkatan kes aktif. Baki 5 hari lagi mencatatkan penurunan.

Malahan kita berjaya menafikan analisis JP Morgan apabila jumlah kes positif kita masih di bawah 5,000 berbanding jangkaan 6,200 kes oleh institut Antarabangsa tersebut

(2) Tiada langsung petugas kesihatan dijangkiti ketika menguruskan pesakit kes positif – membuktikan keberkesanan SOP sedia ada serta kekompetenan setiap anggota yang terlibat.

(3) Kapasiti rawatan pesakit COVID kita berjaya ditingkatkan kepada 7,000 orang, jauh melepasi kadar kes aktif setakat semalam (13 April) iaitu 2,464 pesakit. Ini termasuk pembukaan pusat rawatan dan kuarantin MAEPS Serdang hanya dalam tempoh 4 hari yang dipuji media Jepun.

(4) Kita berjaya melaksanakan 81,730 pengujian atau nisbah 2,490 pengujian per sejuta penduduk. Hampir 50,000 pengujian ini dilaksanakan hanya dalam tempoh 2 minggu PKP Fasa 2 melalui kerjasama MOSTI dan KPT.

Jumlah pengujian ini tidak termasuk ujian yang belum ada keputusan (pending case). Pengujian kita juga berketepatan tinggi berbanding serological test yang diamalkan oleh sesetengah negara jiran yang akhirnya terbukti bermasalah.

(5) Kerajaan hari ini juga memberi sepenuh kepercayaan kepada penjawat awam. Ini boleh kita lihat apabila inisiatif KPT bagi membawa pulang mahasiswa segera dibatalkan setelah diberi nasihat oleh Dr Noor Hisham. Kepercayaan tinggi kepada kebolehan penjawat awam ini adalah antara punca kenaikan moral barisan hadapan kita.

(6) Rakyat juga memberikan kepercayaan kepada Kerajaan hari ini. Tak pernah kita lihat di negara lain, apabila seorang Ketua Kerajaan mengumumkan lanjutan Perintah Berkurung maka ia akan disambut penuh gembira oleh segenap lapisan rakyat. Malaysia saja lain.

Kegembiraan ini bukan dibuat-buat melainkan berdasarkan keyakinan bahawa apa yang sedang dijalankan hari ini adalah 100 peratus demi kebaikan negara. Percayalah tuan-tuan. Perang ini sudah hampir tamat. Dan kita sedikit sahaja lagi akan menang.

“Kita Akan Menang”

ABDUL RAHIM HILMI ZAKARIYA
Bukit Tunggal Kuala Terengganu

Rujukan:

[1] https://www.malaymail.com/news/malaysia/2020/04/13/health-d-g-says-current-ppe-supply-can-only-last-two-weeks-calls-for-donati/1856395HARAKAHDAILY 14/4/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -