Ta’akhi dan sedekah mengangkat wabak

- Advertisement -

DALAM risalah Al-Shodaqah Wiqayah Min Al-Amradh Wa Al-Balaya tulisan Luqman Abdul Salam menjelaskan bahawa dengan bersedekah, sesuatu musibah dan wabak penyakit boleh hilang dengan cepat:

- Advertisement -

الصدقة سلاح فعال يتسلح به في معترك الحياة والمواطن العظام، تحمى الناس من المصائب والشدائد وترفع عنهم البلايا والآفات، وتعيد العافية والصحة بعون الله تعالى. ولقد فزع الناس في عهد النبي صلى الله عليه وسلم لخسوف الشمس، فأرشدهم عليه الصلاة والسلام إلى الدعاء والصدقة فقال: فإذا رأيتم ذلك فادعوا الله وكبروا وصلوا وتصدقوا (متفق عليه).

“Bersedekah merupakan senjata berbisa yang digunakan (sebagai pertahanan) dalam medan kehidupan dan sebuah komposisi masyarakat. Sedekah adalah benteng daripada pelbagai musibah, kesukaran, ia dapat mengangkat bala dan wabak serta dapat mengembalikan kesejahteraan dan kesihatan, dengan izin Allah jua. Sesungguhnya pernah berlaku panik di kalangan orang ramai pada masa Nabi S.A.W akibat terjadi gerhana matahari. Lantas Rasulullah S.A.W mengajar mereka agar berdoa dan bersedekah. Sabda Nabi S.A.W: Apabila kalian melihat perkara itu (gerhana) hendaklah terus berdoa, bertakbir, bersolat dan bersedekah (Muttafaqun Alaih)”.

Ketika wabak penyakit sedang melanda negara kita, perbanyakkanlah bersedekah selain berdoa dan berikhtiar. Sedekah adalah asbab yang cepat untuk menghapuskan bala serta wabak penyakit yang terjadi, dengan izin Allah. Walaupun Kerajaan telah membuat rangsangan bantuan untuk menampung kesusahan, namun semua pihak perlu berusaha untuk menyumbang kepada mereka yang tidak berkemampuan.

Setiap orang khasnya yang mempunyai kesenangan, sebolehnya mewajibkan diri untuk menghulurkan bantuan kepada sekurang-kurangnya sebuah keluarga. Sumbangan itu hendaklah diberi secara tetap selama tempoh PKP atau selama tempoh yang bersesuaian. Ikatan persaudaraan yang utuh melalui Ta’akhi Fillah amat perlu dititikberatkan dalam arus pembangunan negara masa kini. Sesungguhnya, sistem Ta’akhi yang dijalankan semasa zaman Nabi S.A.W pada awal hijrah dapat menyelesaikan masalah kesusahan dan kemiskinan yang berlaku. Maka Sunnah besar ini wajib dilaksanakan semasa tempoh PKP, mudahan ia dapat menyelesaikan masalah pihak yang dilanda kesukaran mencari rezeki dan kesatuan masyarakat terus teguh.

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 14/4/2020

- Advertisement -