Kejayaan fasa kedua PKP bergantung kepada rakyat

Angkatan Tentera Malaysia melakukan pemeriksaan dalam satu sekatan jalan raya, di sekitar Kuala Terengganu
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kejayaan mengawal pandemik COVID-19 bergantung kepada disiplin tinggi setiap lapisan rakyat Malaysia untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa kedua berkuat kuasa hari ini sehingga 14 April depan.

Justeru itu, NGO Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menggesa rakyat lebih berdisiplin mematuhi PKP yang ditetapkan oleh kerajaan supaya kejayaan inisiatif pihak berkuasa memutuskan rantaian COVID-19 lebih berhasil.

- Advertisement -

“Pematuhan arahan PKP adalah perkara wajib serta menjadi tanggungjawab setiap lapisan rakyat di mana jua mereka berada kerana pandemik COVID-19 ini amat bahaya.

“Ia sekali gus boleh memberi kesan buruk kepada semua aspek kehidupan rakyat dan negara.

“Ya Allah, peliharalah kami seluruh rakyat Malaysia dari serangan wabak Coronavirus, berilah kekuatan kepada kami rakyat Malaysia menghadapi ujian besar ini dan teruslah melindungi kami,” kata Pengerusi UMMAH, Mohd Zai kepada Harakahdaily hari ini.

Tegas Mohd Zai, hanya kepatuhan rakyat sahaja jalan terbaik untuk membendung penularan COVID-19 ini.

Beliau menyeru rakyat Malaysia perlu bersatu hati tanpa mengira bangsa, agama dan status kedudukan untuk bersama-sama petugas barisan hadapan memerangi wabak ini.

“UMMAH ingin menzahirkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan melawan Covid-19 iaitu pasukan perubatan KKM, Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), APM, RELA dan lain-lain agensi kerajaan yang bertugas tanpa mengira waktu dan tempat bagi mendepani krisis Covid-19 ini.

“Kami terus mendoakan moga Allah SWT melimpahkan rahmat, kesihatan yang baik dan kesejahteraan kepada mereka semua,” ujarnya.

Beliau juga menyampaikan salam takziah kepada kaum keluarga yang telah kehilangan ahli keluarga akibat serangan COVID-19 dan turut mendoakan agar pesakit sedang dirawat segera sembuh dan kembali ke pangkuan keluarga.

Fasa kedua PKP bermula hari ini sehingga 14 April depan dan pelaksanaannya kali ini lebih ketat dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) baharu diperkenalkan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media semalam berkata, PDRM dan ATM akan memainkan peranan dan bertindak lebih tegas supaya pematuhan kepada PKP fasa kedua dipatuhi seluruh rakyat. – HARAKAHDAILY 1/4/2020

- Advertisement -