Kajian saintifik pun nak dipolitikkan

- Advertisement -

PH ini semua perkara nak dipolitikkan, termasuk kajian saintifik pun dijadikan bahan untuk politiking. Kajian yang diumumkan oleh Menteri Alam Sekitar baru-baru ini telah disediakan proposalnya oleh pakar-pakar dalam bidang ini melibatkan pakar-pakar dari sebuah universiti awam di Malaysia dan pakar-pakar dari luar negara.

- Advertisement -

Pakar-pakar itu mencadangkan supaya ada tindakan pro aktif dengan melakukan kajian bagi memastikan sama ada virus COVID-19 ini boleh hidup dan membiak dalam sistem pembetungan atau tidak. Menteri PAS mengiktiraf profesionalisme para saintis dan pegawai kerajaan dengan mendengar pandangan yang dikemukakan.

Ramai netizen PH yang menyindir usaha para pengkaji ini, air kumbahan dan air terawat pun mereka tak tahu nak beza. Memang virus tersebut tidak didapati dalam air terawat, tetapi kajian dijalankan di Belanda telah mendapati ada genetik Coronavirus dalam air kumbahan, dan ia bertambah dengan pertambahan pesakit berdasarkan sampel air kumbahan yang diambil tiga masa berbeza.

Netizen-netizen tersebut menyatakan pakar-pakar dari Belanda telah kaji, jadi apa perlu lagi dikaji di Malaysia? Sedangkan laporan eksekutif kajian tersebut jelas menyatakan bahawa kajian mereka menggunakan metod yang dibangunkan secara ‘on the fly’ disebabkan situasi krisis, justeru memerlukan kajian yang lebih mendalam.

Laporan kajian yang mereka kemukakan itupun bersifat preliminary dan hasil kajian tersebut menunjukkan kehadiran Coronavirus secara bertambah dalam air kumbahan.  Bagaimanapun berdasarkan metod kajian yang belum kuantitatif sepenuhnya, mereka buat kesimpulan awal kehadiran Coronavirus dalam air kumbahan masih rendah.

Berdasarkan dapatan awal ini juga mereka menyatakan kemungkinan pekerja di sektor air kumbahan mendapat jangkitan dari Coronavirus yang wujud dalam air kumbahan (aerosol) ini masih sangat rendah disebabkan kehadiran Coronavirus juga masih rendah. Demikianlah dapatan awal mereka berdasarkan metod yang belum kukuh sepenuhnya.

Bila ada pakar-pakar Malaysia dan Belanda bekerjasama untuk menjalankan kajian lanjut dengan membangunkan metod yang lebih kukuh tentang perkara ini, antara lain bertujuan untuk meminimumkan risiko jangkitan kepada pekerja air kumbahan, adakah ia satu kesalahan dan mengapa perlu dipolitikkan? Ia adalah kajian saintifik bukan isu politik.

DR MOHD ZUHDI MARZUKI – HARAKAHDAILY 30/3/2020

- Advertisement -