Ujian COVID-19: Bekerjasama bantu rakyat

- Advertisement -

MUSIBAH COVID-19 yang melanda negara kita serta seluruh dunia merupakan muhasabah terbesar buat seluruh umat manusia di abad ini. Dunia perlu mengakui adanya kuasa teragung mengawal alam ini yang mampu menundukkan seluruh umat manusia dengan apa cara sekalipun.

- Advertisement -

Dalam suasana yang tidak tenteram ini, fokus utama negara kita adalah mengelakkan wabak COVID-19 ini daripada terus merebak. Segala perintah kerajaan perlu dituruti tanpa mengira ideologi politik. Berpolitiklah dengan matang demi menyelamatkan negara kita daripada virus merbahaya ini. Sekiranya pemimpin parti politik terus mempersoalkan semua tindakan pihak kerajaan, mereka akan dilihat membelakangkan nasib rakyat yang memerlukan pengawasan dan bantuan demi kemaslahatan negara.

Fokus utama semua pemimpin politik dan rakyat kini seharusnya adalah membantu  kerajaan khususnya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam penjagaan kesihatan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mesej penting perlu diutamakan supaya semua rakyat bertenang dan kekal dalam rumah masing-masing serta mengamalkan penjagaan kebersihan yang diarahkan oleh pihak kerajaan.

PKP yang diarahkan oleh pihak kerajaan merupakan langkah paling penting bagi memastikan COVID-19 tidak terus merebak. Rangkaian wabak ini perlu diputuskan segera agar kehidupan masyarakat kita akan kembali normal seperti sediakala selepas ini.

Saya menyeru agar semua parti politik tanpa mengira parti dari pihak kerajaan mahupun pembangkang perlu berganding bahu membantu masyarakat yang kesusahan akibat wabak COVID-19 ini. Misalnya, bekalan makanan dan apa sahaja keperluan perlu diagihkan segera untuk individu dan keluarga yang dalam kesusahan akibat kehabisan bekalan asas di kawasan masing-masing.

Marilah kita bergerak ke arah membudayakan politik matang dan sejahtera (BPMS) supaya rakyat dapat melihat kesungguhan pemimpin dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

YB HAJI RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya PAS Perak
ADUN Gunung Semanggol – HARAKAHDAILY 25/3/2020

- Advertisement -