KUALA LUMPUR: Perancangan kerajaan menghadapi wabak jangkitan Covid-19 tidak harus dipolemikkan, kata Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad.
Menurut beliau, tindakan sesetengah pihak menjadikan isu Covid-19 sebagai satu polimik ini dilihat seolah-olah terdapat usaha menggagalkan kerja keras kerajaan walaupun ia merupakan usaha demi kebaikan sejagat yang melibatkan keselamatan rakyat Malaysia.
Malah, serangan Covid-19 ini katanya, terbukti turut memberi implikasi ekonomi, sosial, bahkan perancangan pertumbuhan negara juga turut terjejas.
Justeru itu katanya, PAS mengambil sikap supaya tindakan tidak matang ini wajar dihentikan serta merta dan PAS sentiasa konsisten dengan pendirian supaya tidak mempolitikkan sesuatu isu dan fokus kepada isu pokok untuk diselesaikan.
Jelas beliau, inilah waktunya semua pihak bersama-sama berganding bahu menangani serangan Covid-19 ini tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum.
Nasihat beliau supaya rakyat mematuhi segala arahan serta saranan pihak berkuasa, dalam masa yang sama tidak lupa kebergantungan kita kepada Allah SWT dengan memberbanyakkan ibadat, doa dan munajat.
Hal ini kerana beliau percaya, tindakan generasi hari ini bakal mencetak sejarah pada masa hadapan.
Sementara itu, mengambil kesempatan ini, beliau mewakili PAS menyatakan sokongan dan sambutan terhadap langkah kerajaan yang mengambil keputusan untuk mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan sepanjang tempoh 18 Mac sehingga 31 Mac ini.
Katanya, tindakan tersebut selari dengan dengan saranan Rasulullah SAW yang melarang supaya umatnya tidak keluar atau memasuki mana-mana tempat yang terdapat wabak berjangkit.
“Dari Usamah bin Zaid R.A dari Nabi Muhammad S.A.W, apabila kamu mendengar berlakunya wabak taun di suatu negeri, maka janganlah kamu memasukinya, dan apabila berlaku dalam negeri kamu berada di dalamnya, maka jangan kamu keluar,” terang beliau. – HARAKAHDAILY 19/3/2020