Kelonggaran kepada sektor perladangan, komoditi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah memberi kelonggaran kepada sektor perladangan dan komoditi bagi membolehkan sektor ini terus menyumbang kepada keperluan asas negara.

- Advertisement -

Kelonggaran ini diberi selepas mendapat pengesahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan perbincangan dalam kabinet semalam.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Khairudin Aman Razali berkata, sebagaimana semua sedia maklum, kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula dari 18 hingga 31 Mac 2020.

Katanya lagi, tindakan ini adalah sebagai usaha Kerajaan dalam membendung penyebaran wabak Covid-19 yang sedang melanda negara. 

“Kementerian sedar bahawa perintah ini akan memberi implikasi yang besar kepada sektor perladangan dan komoditi khususnya pekebun kecil sawit dan getah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini selepas satu mesyuarat bersama Kabinet dibincangkan mengenainya semalam. 

Katanya lagi, kementerian juga mengambil maklum akan kepentingan industri sawit dan getah yang menyumbang kepada rantaian bekalan berkaitan penyediaan perkhidmatan perlu seperti pembekalan minyak masak dan pembekalan peralatan perubatan seperti sarung tangan (gloves) dan kateter (catheter)

Kata Dr Khairudin, berdasarkan kepada kepentingan ini dan bagi memastikan bekalan adalah mencukupi setelah mendapat panduan umum Kabinet yang bermesyuarat pada semalam, serta pengesahan pihak MKN, Kementerian memberi kelonggaran kepada sektor perladangan dan komoditi.

Pertama kata beliau, membenarkan penuaian buah tandan segar sawit oleh syarikat perladangan dan pekebun kecil.

Keduanya membenarkan pemprosesan buah tandan segar dilaksanakan oleh kilang-kilang sawit.

Seterusnya, membenarkan pemprosesan minyak sawit mentah di kilang penapis untuk pengeluaran minyak masak bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan.

Keempat, membenarkan aktiviti penorehan getah bagi tujuan pembekalan bahan mentah untuk penghasilan produk peralatan perubatan seperti sarung tangan dan kateter (catheter)

Akhir sekali,  kementerian membenarkan aktiviti bagi sektor perkayuan beroperasi untuk memenuhi kontrak sedia ada yang telah dimeterai.

Kata Dr Khairudin, wemua pihak yang terlibat di dalam aktiviti yang dinyatakan itu hendaklah memastikan segala langkah pencegahan dan pengawalan penularan wabak Covid-19 dipatuhi.

Kata beliau, ia termasuklah meminimakan tenaga kerja dan pergerakan pekerja dengan menjarakkan sentuhan fizikal (social distancing) dan pulang segera ke rumah atau penempatan setelah selesai bekerja. 

“Semua pihak diingatkan sentiasa menjaga kebersihan sepertimembasuh tangan dengan sabun atau pencuci tangan (hand sanitiser),” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.
HARAKAHDAILY 19/3/2020

- Advertisement -