Rombak MPKK sandiwara baharu Kerajaan PH

- Advertisement -

KONGKALIKONG. Perkataan itu acap kali disebut Pengerusi Umno Sabah, Dato’ Seri Bung Moktar Radin di Parlimen. Ahli Parlimen Kinabatangan mengumpama kerajaan yang sering berdalih.

- Advertisement -

Sebelum ini Pakatan Harapan (PH) dilabel kerajaan u-turn. Banyak adegan undur balik berlaku. Bercakap apa sahaja isu terutamanya membabitkan pelajar di institusi pengajian tinggi.

Sebut sahaja perkataan PTPTN (Perbandanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara) ada juga kongkalikong. Ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) disebut penangguhan bayaran balik sehingga gaji RM4,000 sebulan.

Namun selepas PH bergelar kerajaan lain pula jadinya. Itu antara ‘sample’ yang berlaku di hadapan mata kita.

Mengambil kira pengalaman itu ada rakyat menganggap ia gagal melahir dimensi baharu Kerajaan PH. Rupa-rupanya tidak ke mana-mana. Sedangkan Malaysia Baharu diharap semua pihak tiada politik dendam.

Namun rupanya panas tidak sampai ke petang. PH mengulangi lagi apa yang disebut Bung sebagai kongkalikong. Namun kali ini lebih parah lagi. Kalau isu PTPTN ia hanya membabitkan pelajar yang bergelar mahasiswa.

Namun kali ini melibatkan masyarakat. Selepas menang PRU lepas kesungguhan Kerajaan PH mewujudkan Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) dinantikan semua pihak.

Setidak-tidaknya mereka berharap tidak wujud jadian Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di negeri yang ditadbir pembangkang.

Di Kelantan pentadbiran mukim diurus dua pihak sejak 1991 sehingga 9 Mei 2018. Di bawah pentadbiran negeri dikenali penghulu, namun kerajaan pusat pula disebut JKKKP.

Pada awalnya JKKKP di Kelantan dipanggil Penyelia Pembangunan Mukim (PPM), namun diubah pula selepas itu.

Peruntukan kerajaan pusat untuk pembangunan mukim disalur melalui JKKKP. Sebaliknya urusan kerajaan negeri berkaitan mukim di bawah penghulu.

Namun Pengerusi JKKKP jauh lebih ‘berkuasa’. Tanda tanya borang bantuan persekolahan, tabung usahawan dan apa sahaja di bawah kerajaan pusat mesti ada tandatangan JKKKP.

Peranan penghulu hanya bidang tugas di bawah kerajaan negeri. Hanya penduduk yang mahu memohon geran tanah ada kait dengan tugas penghulu.

Tandatangan JKKKP tidak ‘laku’ bagi urusan itu.

Inilah pertembungan yang berlaku di Kelantan sejak 1991 sehingga 2018. Pertembungan selama 27 tahun bukan tempoh yang singkat.

Ramai petani yang dipaksa bersumpah menyokong Umno bagi mendapat baja subsidi cap dacing. Ramai dalam kalangan mereka sudah meninggal dunia.

Itulah kuasa veto yang diberi terhadap JKKKP. Itu dahulu. Jadi di era Malaysia Baharu rakyat harap ada perubahan.

Malah kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Rina Mohd Harun MPPK diberi peruntukan tidak dipengaruhi sentimen politik, waima lima negeri ditadbir pembangkang.

“Peruntukan kepada MPKK selepas diberikan penjenamaan baharu daripada JKKK berkenaan berjumlah RM10,000 dengan siling geran tidak melebihi RM100 juta setahun.

“Ia bertujuan membiayai projek dan program penjanaan peningkatan ekonomi kampung, meningkat kesejahteraan serta keceriaan kampung.

“Geran ini akan memberikan manfaat kepada 10,000 daripada 16,749 kampung di seluruh Malaysia tanpa mengambil kira kawasan ditadbir PH atau pembangkang,” katanya ketika MPPK baru diperkenalkan.

Tiba-tiba sekarang wahana itu mahu diubah. Terbalik kot pula jadinya. Hanya setahun lebih MPKK muncul di setiap negeri tiba-tiba ia mahu dikuburkan.

Sekarang mahu dimunculkan pula MPKKP. ‘P’ bermaksud Persekutuan. Ia mengulangi apa yang pernah berlaku sebelum ini. Di Kelantan sekarang terdapat 636 MPKK.

Biarpun ura-ura MPKKP sudah beberapa bulan muncul, namun ia seperti tidak dimuktamad.

Malah ketika menjawab soalan di Dewan Negara baru-baru ini Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar S Sivarasa enggan mengakui MPKK di negeri pembangkang dimansuh.

Sebaliknya kata beliau MPKK di negeri terbabit dipulangkan kepada kerajaan negeri. Ini bermakna ada dua entiti MPKK di Terengganu, Kelantan, Pahang, Perlis dan Sarawak.

Mesej yang jelas di sebaliknya sandiwara baru kerajaan PH, mungkin parti itu gagal menamakan lima wakil mereka dalam MPKK di negeri terbabit. – HARAKAHDAILY 19/12/2019

- Advertisement -